Sabtu, 5 Disember 2020

Murid teruja terima telefon bimbit untuk pembelajaran dalam talian

Bernama
Murid teruja terima telefon bimbit untuk pembelajaran dalam talian
Padli (kiri) berkata pemberian telefon pintar itu amat membantu dan memudahkan 
proses pembelajaran Nurirdina kerana sebelum ini anaknya menggunakan telefon 
miliknya dan berkongsi dengan adiknya apabila mahu membuat tugasan sekolah. 
- Astro AWANI
 
KEPALA BATAS: Gembira, lebih fokus dan selesa untuk belajar di rumah malah akan lebih mudah membuat tugasan diberikan guru, demikian reaksi Nurirdina Padli, murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Pokok Sena di sini selepas menerima sumbangan telefon pintar daripada pihak sekolahnya semalam.
 
Nurirdina berkata sebelum ini dia menggunakan telefon pintar ayahnya dan terpaksa berkongsi dengan adiknya untuk mengikuti pembelajaran dalam talian yang menyebabkan mereka sukar fokus dan kadang kala terlupa menyiapkan latihan diberikan guru.
 
"Alhamdulillah...rasa gembira dan bersyukur sangat dapat telefon bimbit oleh pihak sekolah kerana selepas ini saya boleh fokus sepenuhnya tanpa ada sebarang gangguan lagi, termasuk berkongsi dengan adik untuk belajar dalam talian.
 
"Saya sebenarnya tidak mahu menyusahkan keluarga terutama ayah untuk membeli telefon bimbit lain, lagipun kami bukan dari keluarga yang berkemampuan kerana ayah pun hanya berniaga kecil-kecilan... sekarang ini perniagaannya juga agak merosot selepas COVID-19," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam program penyerahan gajet berkenaan secara pandu lalu, di sini, semalam.
 
Majlis penyerahan dilakukan Guru Besar SK Pokok Sena Mohd Zubir Mat Zain dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu Zamri Ali.
 
Pihak sekolah mendapatkan bantuan telefon pintar tersebut dari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk diberikan kepada beberapa murid kurang berkemampuan.
 
Sebanyak lima unit telefon pintar diberikan secara percuma kepada murid berpotensi dan berjaya mengharumkan nama sekolah berkenaan, tiga lagi murid sekolah itu juga menerima tablet yang dipinjamkan kepada mereka bagi mendapatkan akses maklumat untuk mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan yang dianjurkan secara dalam talian.
 
Bapa Nurirdina, Padli Musa,47, berkata pemberian telefon pintar itu amat membantu dan memudahkan proses pembelajaran anak ke empat daripada lima beradik tersebut kerana sebelum ini anaknya menggunakan telefon miliknya dan berkongsi dengan adiknya apabila mahu membuat tugasan sekolah.
 
Sebagai peniaga, katanya beliau tidak sentiasa berada di rumah dan bimbang pembelajaran anaknya akan terganggu kerana tidak mempunyai telefon sendiri.
 
"Saya berasa bertuah dan Alhamdulillah dapat telefon untuk anak hari ini, sebelum ini anak-anak terpaksa berkongsi dan kebetulan telefon saya pun ada masalah tapi mereka terpaksa guna juga sebab tiada telefon lain...saya memang ada perancangan untuk beli tapi belum mampu," katanya.
 
Sementara itu, Mohd Zubir berkata, pihak sekolah berterima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh pihak NGO tersebut yang akan menyuntik semangat pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian.
-- BERNAMA

Tiada ulasan: