Isnin, 28 Disember 2020

Mayat remaja lemas ditemui

Oleh Siti Rohana Idris
Mayat Amirul Mukminin ditemui di Kampung Banggol jam 7.50 pagi tadi. - Foto BOMBA
Mayat Amirul Mukminin ditemui di Kampung Banggol jam 7.50 pagi tadi. - Foto BOMBA

KOTA BHARU: Mayat remaja yang mandi di Sungai Kelantan di Kampung Banggol, di sini, petang semalam ditemui pagi tadi.

Jasad remaja itu, Amirul Mukminin Mohd Izuha, 15, ditemukan oleh anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat pada jam 7.50 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali, berkata mayat remaja itu ditemui kira-kira tiga meter tempat mangsa dilihat tenggelam.

"Jenazahnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, orang ramai tidak wajar menjalankan kegiatan di tepi sungai, laut atau pantai bagi mengelakkan tragedi, memandangkan sekarang masih musim tengkujuh .

Dalam kejadian pada jam 6 petang semalam, mangsa menyertai tiga lagi rakannya yang sedang mandi di sungai berkenaan.

Amirul yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra di sini juga dikatakan berjalan perlahan-lahan masuk ke dalam sungai, sebelum tiba-tiba tenggelam dan gagal diselamatkan rakan serta penduduk kampung.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafie, berkata, anggotanya memulakan operasi pada jam 7.45 pagi tadi.

"Anggota bomba menjalankan pencarian di dasar sungai kira-kira enam meter dari tebing.

"Lima minit kemudian, mayat mangsa ditemui terlekat di dasar sungai yang berselut," katanya.

Tiada ulasan: