Selasa, 29 Disember 2020

Khairy cadang wujud portal aduan khas jalan berlubang.

KUALA LUMPUR: Portal aduan khas secara dalam talian perlu diwujudkan bagi menangani isu 'lubang maut' pada jalan di seluruh negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, ketika menyuarakan cadangan itu berkata pendekatan sedemikian akan dibincangkan dengan Kementerian Kerja Raya dalam tempoh terdekat.

Katanya, jalan penyelesaian seperti itu penting kerana rakyat berupaya menjadi 'mata dan telinga' agensi berkaitan yang bertanggungjawab untuk menyelia aspek penyelenggaraan jalan.

"Saya dengar jalan yang saya lalui itu tiada lubang beberapa hari lalu, justeru kita perlukan pemantauan 'real time' (semasa).

"Tetapi agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak mempunyai kakitangan mencukupi untuk nak tengok seluruh jalan Persekutuan.

"Sebab itu, saya sudah bincang dengan (Menteri Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah (Yusof) untuk bagaimana kita boleh jalinkan penggunaan teknologi bagi menyelesaikan isu ini.

"Dengan mewujudkan suatu portal khas untuk menyalurkan aduan, beberapa butiran seperti gambar, video dan maklumat mengenai kerosakan jalan dapat disalurkan secara pantas," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau semalam dilapor terbabit kemalangan apabila basikal ditunggangnya terbalik, selepas tayar hadapan terperosok dalam lubang.

Melalui gambar dimuat dan status di Twitter, Khairy dilihat mengalami beberapa kecederaan ringan pada muka berikutan terhumban pada bahu jalan.

Ditanya berhubung insiden itu, Khairy tidak dapat memberikan perincian lanjut kerana mengalami kesan hilang ingatan sementara, selepas terpaksa ditempatkan di hospital semalaman.

"Saya sampai sekarang tak ingat apa yang jadi semalam. Yang saya ingat, bila sudah sampai ke hospital.

"Doktor kata ia disebabkan gegaran ketika jatuh daripada basikal. Saya masih bernasib baik, tetapi simpati kepada rakyat kerana inilah yang jadi pada orang biasa.

"Niat saya semalam memuat naik insiden ini di Twitter ialah untuk beri peringatan kepada pengguna jalan lain, namun ia nampaknya mendapat perhatian JKR.

"Saya berterima kasih kepada JKR kerana peka dengan isu ini, tetapi janganlah hanya disebabkan saya menteri, baru nak ambil berat," katanya.

Cakna dengan kejadian lebih parah, termasuk maut yang dialami rakyat susulan keadaan jalan berlubang, Khairy berkata punca di sebalik isu sedemikian harus disiasat.

Beliau berkata, ia termasuk aspek kualiti dan jentera atau kenderaan berat yang menggunakan jalan berkenaan sehingga menyebabkan permukaannya berlubang.

"Tetapi yang penting, kalau sudah berlubang, janganlah berhari-hari atau kena tunggu terlalu lama untuk turap semula.

"Kalau kita nampak, boleh elak. Tetapi saya yang berbasikal, dengan kelajuan maksimum 40 kilometer sejam pun tak nampak. Apatah lagi penunggang motosikal?

"Jadi, saya ambil pandangan positif maklum balas pelbagai pihak yang ingin saya kemalangan ketika melalui kawasan mereka supaya tindakan segera dapat diambil.

"Isu pokoknya, masalah jalan berlubang ini memerlukan penyelesaian segera kerana ia dekat di hati rakyat," katanya.

Tiada ulasan: