Isnin, 28 Disember 2020

Kes buli doktor pelatih: Kena pukul depan pesakit

KUALA LUMPUR: Pernah diherdik dengan perkataan bodoh, dipukul dengan fail di depan pesakit dan difitnah mempunyai masalah disiplin antara pengalaman buruk dilalui doktor pelatih ketika berkhidmat dalamsektor awam.

Lebih menyeksakan apabila ada juga dalam kalangan doktor berdepan situasi gangguan seksual sehingga menyebabkan mereka berasa gusar setiap kali ingin pergi ke tempat kerja.

Doktor pelatih yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Zahra, 27, dipanggil dengan pelbagai kata tidak manis seolah-olah menjadi makanan harian yang perlu ditelan dan pengalaman itu bukan sahaja dirasainya namun juga dalam kalangan rakan sekerja lain.

Namun, Dr Zahra yang berasal dari ibu kota berkata, kebimbangan dan kegusaran itu hanya diperkatakan dalam kalangan mereka sahaja kerana tidak tahu pihak mana boleh dipercayai untuk diutarakan masalah sedemikian.

"Sebagai contoh ketika kita dalam pembentangan kes, kalau ada sedikit kesilapan terus akan diherdik dengan gelaran bodoh dan lembap. Benda ini diperkatakan dalam kalangan kami, tetapi tiada sesiapa yang mengambil tindakan.

"Bukan itu sahaja, ada juga doktor senior yang pernah memegang tangan saya ketika prosedur pembedahan, apabila saya ceritakan pada rakan sekerja, mereka juga melalui pengalaman sama seperti dibetulkan kolar baju dan menerima kata-kata pujian berbaur seksual, " katanya kepada BH di sini, semalam.

Pengalaman berbeza dilalui oleh Dr Leya, 26, yang pernah dipukul di kepala dengan fail di hadapan semua pesakit kerana tidak menjawab soalan dengan betul.

Katanya, perbuatan itu dilakukan oleh seorang pakar kardiologi di salah sebuah hospital awam di ibu negara.

Seorang lagi doktor yang sudah tidak berkhidmat dengan sektor awam, dikenali sebagai Dr Malisa, 38, berkata beliau pernah melalui pengalaman pahit enam tahun lalu dituduh melakukan kesalahan disiplin oleh doktor senior yang turut mempengaruhi rakan sekerjanya lain bagi mempercayai fitnah itu.

Beliau berkata, rentetan itu, dirinya dipanggil ke pejabat ketua jabatan di hadapan doktor senior yang lain dan diberi dua pilihan sama ada meletakkan jawatan atau cuti tanpa gaji yang dimohon, ditarik semula.

"Saya cuba mendapatkan bantuan pihak atasan, tetapi tiada siapa yang dapat membantu seorang doktor pelatih junior.

"Keadaan ini berlarutan sehingga akhirnya saya terpaksa meletakkan jawatan, dan terpaksa membayar denda kerana tidak menghabiskan tempoh kontrak berjumlah ratusan ribu sehingga sekarang," katanya.

Bagi doktor dikenali sebagai Dr Nur, 31, pula akibat perbuatan dipergunakan doktor senior, beliau akhirnya dipindahkan ke sebuah hospital di Terengganu kira-kira lima bulan lalu.

Katanya, pengalaman dibuli dilaluinya bukan sahaja ketika bergelar doktor pelatih, namun situasi itu berterusan hingga menjadi pegawai perubatan.

"Bayangkan sepanjang menjadi doktor pelatih, kita pergi kerja seawal jam 5.30 pagi hingga 10 malam dengan rasa penat sebab pelbagai kerja perlu dilakukan dan dimarah lagi.

"Memang ketika itu motivasi diri sangat terganggu, namun terpaksa diteruskan disebabkan inilah punca pendapatan. Ada juga dalam kalangan kami yang terpaksa berhenti kerana tidak tahan.

"Ketika saya bertugas sebagai pegawai perubatan pun situasi sama berulang di mana saya dipergunakan untuk merawat pesakit yang sepatutnya hanya boleh dilakukan oleh doktor pakar," katanya.

Timbalan Presiden, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM), Dr Muhammad Munawar Mohamed Hatta.
Timbalan Presiden, Persatuan Perubatan Islam Malaysia 
(PPIM), Dr Muhammad Munawar Mohamed Hatta.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM), Dr Muhammad Munawar Mohamed Hatta mengakui kewujudan kes buli dalam kalangan doktor pelatih, malah ia sudah berlarutan sekian lama.

Beliau yang juga Pakar Perunding Perubatan Kecemasan dan Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, budaya membuli itu tidak sepatutnya berlaku dan harus dibanteras bukan sahaja pada pihak Kementerian Kesihatan (KKM), malah dalam kalangan doktor sendiri.

"Walaupun ia membabitkan soal kompetensi dalam kalangan doktor pelatih, itu bukan alasan untuk tindakan buli atau cara salah dilakukan doktor senior kerana air muka masing-masing perlu juga dijaga.

"Amat ironi apabila doktor menjaga kebajikan pesakit, namun ia tidak berlaku sesama rakan sekerja. Benda ini bukan baru, ia sudah berlarutan sejak 20 hingga 30 tahun lalu dan pelbagai tindakan juga sudah diambil.

"Sepatutnya kesalahan ini diambil tindakan bukan sahaja secara individu, malah dari sudut organisasi sendiri. Kita faham kadang-kala mereka kurang sabar berdepan kesilapan dilakukan doktor pelatih, namun ia bukan alasan untuk buli dilakukan," katanya.

Bagaimanapun, pakar kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, berkata layanan tegas mungkin dianggap buli oleh sesetengah doktor pelatih, tetapi ia sebagai persediaan untuk berdepan situasi sebenar apabila berkhidmat sebagai doktor kelak.

Beliau turut berkongsi pengalaman sendiri apabila pernah diketuk dengan instrumen di kepala, selain fail dicampakkan ke arah muka, namun menganggap ia sebahagian proses pembelajaran.

"Ketika menjadi pelatih, pengetahuan kita kosong dan kita perlu bersedia daripada ketahanan mental bagi melengkapkan diri.

"Di luar sana, kita berdepan pelbagai ragam lagi pesakit, termasuk kemungkinan dimarahi mereka juga tinggi," katanya.

Tiada ulasan: