Selasa, 1 Disember 2020

Kelindan lori dakwa polis minta 2 guni bawang untuk lepas masuk N Sembilan

Malaysiakini

Seorang kelindan lori didakwa dipaksa "meninggalkan" dua guni bawang sebelum dibenarkan melepasi sekatan jalan raya di Negeri Sembilan, Ahad lalu.

Difahamkan insiden itu berlaku pada jam dua petang, ketika lelaki berusia 26 tahun itu dan pemandu lori tersebut dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor, untuk mengedarkan bawang dan ubi kentang di sekitar Seremban dan Senawang.

Lori tersebut tidak dibenarkan melepasi sekatan jalan raya dekat plaza tol Senawang, kerana mereka didakwa gagal menunjukkan surat kebenaran perjalanan oleh polis.

Ia walaupun kelindan itu telah menunjukkan surat daripada majikan dan barangan yang dibawa mereka kepada anggota polis yang membuat kawalan.

"Lelaki itu kemudian didakwa diminta untuk membayar RM200. Bagaimanapun, memandangkan dia kata tak ada duit sebanyak itu, polis itu didakwa meminta mereka memberi 10 guni bawang kepada semua anggota yang bertugas di situ," kata sumber.

Bagaimanapun, kata sumber itu lagi, lelaki itu enggan berbuat demikian dan mengatakan gajinya akan dipotong akibat kerugian itu, memandangkan setiap guni bawang berharga RM50.

Susulan itu, permintaan dikurangkan kepada dua guni bawang. Dia akur dengannya dan diminta meletakkan satu guni di dalam sebuah kereta dan satu guni lagi di bawah meja dalam khemah di situ.

Sumber berkata, kelindan tersebut membuat laporan polis di Shah Alam semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib mengesahkan laporan itu ketika dihubungi malam tadi. 

Malaysiakini telah menghubungi ketua polis daerah Seremban berhubung perkara ini.

Tiada ulasan: