Rabu, 30 Disember 2020

Kelantan kenal pasti kawasan sesuai naik taraf 12 pos PGA

PASIR MAS: Kelantan sudah mengenal pasti kawasan bersesuaian bagi projek menaik taraf 12 pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand, yang terdedah dengan ancaman banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata projek itu adalah yang terbaik bagi membolehkan pos dibina di kawasan bebas banjir demi keselesaan anggota PGA.

"Kerajaan negeri bersedia memberi kerjasama membabitkan penggunaan tanah untuk membina pos berkenaan selain sudah mengenal pasti kawasan yang bersesuaian.

"Permohonan dilakukan awal tahun ini, Insya-Allah kita akan terus panjangkan hal ini dan optimis penambahbaikan dapat dilaksanakan sebaik mungkin sebelum tibanya musim tengkujuh tahun depan.

"Tambahan pula, PGA bukan sahaja berhadapan dengan fenomena banjir tetapi juga pandemik COVID-19, sudah tentu mereka berdepan dengan tugas yang mencabar," katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada anggota Batalion 7 PGA (PGA7) di Pos Sempadan Meranti, Kampung Pak Itam, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Penolong Pegawai Pemerintah PGA7, Deputi Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh.

Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan, 12 daripada 17 pos kawalan milik PGA yang bertempat di tebing Sungai Golok akan dinaik taraf bagi mengelak pos terbabit terjejas akibat bencana banjir.

Perkara terbabit dimaklumkan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ramlan Harun, hasil lawatan yang dilakukan ke beberapa pos yang terdedah dengan ancaman banjir baru-baru ini.

Mohd Nassuruddin turut menasihatkan anggota bertugas supaya sentiasa berwaspada dan bersabar berdepan dengan pelbagai musibah.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Ku Majidin mewakili PGA7 merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan negeri atas sumbangan yang akan diagihkan kepada semua petugas membabitkan 17 pos di sempadan terbabit.

Tiada ulasan: