Rabu, 30 Disember 2020

Kartel daging: Jangan anggap selesai, KPDNHEP belum ‘cuci tangan’

MGF22122020_PELANCARAN-SKIM-HARGA-MAKSIMUM-KRISMAS_11
Rosol Wahid

KUALA BERANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat pemantauan secara berterusan dan serbuan secara berkala terhadap syarikat atau pengedar berkaitan daging import tanpa sebarang notis pada bila-bila masa.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, kementerian belum ‘cuci tangan’ berkaitan isu tersebut dan pemantauan berterusan bertujuan memastikan semua daging yang diimport masuk ke Malaysia adalah halal.

“Kementerian juga memberi jaminan bahawa semua daging import yang ada di pasaran ketika ini adalah halal…..apa yang berlaku baru-baru ini, kita telah dapat bendung dan kenal pasti.

“Tanggungjawab kita memastikan semua daging yang nak masuk ke Malaysia wajib halal kecuali daging babi, ia dalam kategori yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan pematuhan skim harga maksimum musim perayaan Krismas yang turut dihadiri Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 9,629 premis perniagaan di seluruh negara telah diperiksa oleh KPDNHEP bagi tempoh 22 Dis hingga 29 Dis untuk pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas kali ini.

Rosol berkata, hasil pemeriksaan sepanjang tempoh itu hanya merekodkan 10 kes kesalahan sahaja dengan jumlah kompaun sebanyak RM1,100 dan jumlah sitaan RM386.

“Satu kes ialah gagal mempamerkan tanda harga khas (merah jambu) manakala sembilan kes lagi kerana tiada tanda harga barangan dipamerkan. Tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Ini menunjukkan skim pemantauan harga adalah efisyen kerana peniaga sudah mengikuti peraturan yang ditetapkan agar tidak mengambil kesempatan pada musim perayaan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, KPDNHEP juga telah memulakan Op Catut sebanyak tiga fasa untuk memantau harga barangan dan pakaian sekolah menjelang sesi persekolahan 2021 yang akan dibuka tidak lama lagi.

“Fasa pertama ialah dari 24 Dis hingga esok, fasa kedua pada 1 Jan hingga 19 Jan dan fasa ketiga dari 20 Feb hingga 7 Mac depan. Op ini bertujuan memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga pakaian dan kelengkapan sekolah yang mana antara barangan diperiksa ialah seperti beg, kasut, stokin dan tudung,” katanya.

Bagi operasi fasa pertama, sebanyak 279 premis telah diperiksa setakat ini melibatkan 1,154 barangan yang daripada jumlah itu, 271 notis pengesahan maklumat barangan dikeluarkan untuk tindakan lanjut.

Selain itu, Rosol berkata, KPDNHEP juga akan melancarkan kempen ‘Back To School’ untuk memudahkan ibu bapa membuat persediaan membeli kelengkapan persekolahan dan setakat ini permohonan dari pasar raya atau premis perniagaan masih dibuka untuk menyertai kempen tersebut. – Bernama

Tiada ulasan: