Isnin, 28 Disember 2020

JKR Kuala Langat ‘tangan terikat’, dakwa Adun

MALAYSIAKINI

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Banting, Lau Weng San menggesa Kementerian Kewangan memberi peruntukan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat untuk memperbaiki jalan raya yang berlubang.

“[…] JKR Kuala Langat masih menghadapi masalah kekangan kewangan kerana banyak peruntukan yang diperlukan perlu mendapat kelulusan kementerian kewangan, khususnya penyelenggaraan jalan persekutuan.

“Justeru itu saya tidak bercadang mengkritik JKR Kuala Langat kerana tangan mereka terikat dengan kekangan peruntukan.

“Kementerian kewangan sebenarnya harus memikul sebahagian besar tanggungjawab kerana mereka yang membuat keputusan akhir,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin cedera di bahagian muka selepas terjatuh ketika berbasikal ekoran jalan raya yang berlubang di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor.

JKR Kuala Langat memohon maaf itu di Twitter dan berkata akan bertindak segera menyelesaikan masalah itu.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas JKR Kuala Langat berkaitan perkara itu.

Sementara itu, Lau berharap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mencontohi bekas penyandangnya Lim Guan Eng yang menyediakan peruntukan sebanyak RM 1.63 juta bagi menyelenggara kawasan itu terdahulu.

“Sebagai contoh, saya telah membangkitkan masalah lampu jalan yang rosak di sepanjang Jalan Klang – Banting sejak tahun 2018. Maklum balas yang diperolehi saya ialah ia memerlukan peruntukan khusus daripada kementerian kewangan dan bukan kementerian kerja raya.

“Saya berbesar hati apabila mantan menteri kewangan Lim Guan Eng telah meluluskan sejumlah peruntukan sebanyak RM1.63 juta untuk menyelenggara lampu-lampu jalan yang rosak sepanjang jalan persekutuan ini.

“Walaupun kelulusan ini merupakan satu stop-gate measure (usaha jangka masa pendek) yang hanya membantu mengatasi masalah ini buat sementara waktu, tetapi ia tetap membantu,” katanya lagi.

Tiada ulasan: