Ahad, 27 Disember 2020

Jangan ada usaha lindungi orang kenamaan – Asyraf Wajdi

Oleh MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN
ASYRAF WAJDI DUSUKI

KUALA LUMPUR: Semua pihak diingatkan supaya tidak melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam  penyelewengan amanah lebih-lebih lagi berhubung kartel penyeludupan dan pengedaran daging import haram ke negara ini. 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan, sesiapa pun tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang termasuk pihak yang mempunyai kuasa dan pengaruh. 

“Jangan ada sebarang usaha menutup ataupun melindungi mana-mana pihak termasuk orang kenamaan dan VVIP yang terlibat dengan penyelewengan amanah umat Islam ini!.  

“Ini penting bagi mengembalikan kepercayaan dan keyakinan umat Islam terhadap keabsahan status halal daging import yang berada dalam pasaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Amaran itu hadir selepas pendedahan media baru-baru ini terdapat kartel yang bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk mengimport daging seperti kanggaru dan kuda yang tidak berstatus halal untuk dijual sebagai daging halal.

Pegawai dalam agensi kerajaan itu didakwa menerima pelbagai jenis habuan termasuk wang dan khidmat bagi membolehkan kartel tersebut beroperasi mengimport daging-daging berkenaan.

Asyraf dalam satu kenyataan sebelum ini mengulas isu sama dan mengemukakan enam cadangan yang perlu diambil tindakan segera oleh kerajaan bagi menangani isu kartel daging bagi memastikan keyakinan, kepercayaan dan logo halal Malaysia yang diiktiraf dunia tidak terjejas. 

Cadangan itu termasuk mengisytiharkan dan mendedahkan nama-nama syarikat yang sedang disiasat serta disyaki terbabit dengan penipuan sijil dan percampuran daging halal haram dan memperkasakan kembali Majlis Halal Malaysia yang diperkenalkan di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membangunkan industri halal secara komprehensif dan bersepadu. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: