Rabu, 30 Disember 2020

JAKIM keluarkan 6 pelan tindakan tangani isu halal daging import .

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam mengeluarkan pelan tindakan bagi menangani isu keraguan status halal daging import, seterusnya menambah baik kelemahan yang ada dan merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu pengurusan halal.

Melalui Bahagian Pengurusan Halal dan Sekretariat Majlis Halal Malaysia, jabatan berkenaan akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan, selain pengimport dan pengedar daging.

Tindakan lain adalah mempromosi badan pensijilan dan logo halal luar negara yang diiktiraf JAKIM serta meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis pengimport daging, pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta rumah penyembelihan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh, berkata JAKIM sudah, sedang dan akan menggerakkan tindakan bagi menangani isu daging import, termasuk mengadakan perbincangan serta mesyuarat dengan pihak yang terbabit dari semasa ke semasa.

"Lawatan ke rumah penyembelihan dan pusat pengumpulan daging import akan terus dipergiatkan. SOP terbaru (proses pensijilan halal) dengan penambahbaikan sedia ada akan dimuktamadkan pada Januari ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas enam pelan tindakan berkenaan, beliau berkata, yang pertama adalah perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Fokus perbincangan ini bertujuan menyelaras tindakan berdasarkan fungsi masing-masing. Antara isu yang akan dibincangkan adalah bidang kuasa, langkah-langkah perlu diambil dalam menangani isu ini serta pelan tindakan bersepadu pengimportan daging dan produk daging.

"Perbincangan akan diadakan pada Selasa ini, jam 11 pagi," katanya.

Pelan tindakan kedua, katanya, adalah perbincangan dengan pengimport dan pengedar daging serta produk daging yang turut membabitkan penyertaan KPDNHEP, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta JKDM.

Abdul Aziz yang menjalankan tugas Ketua Pengarah JAKIM, berkata ia bagi membincangkan isu atau masalah dihadapi pengimport dan pengedar, memberi penjelasan mengenai keperluan mematuhi SOP pengimportan dan pengedaran serta menggalakkan permohonan SPHM melalui skim logistik (pergudangan).

"Perbincangan meja bulat itu bagi mensyaratkan pemegang SPHM mendapatkan bekalan daging dari pengimport atau pengedar yang telah dipersijilkan halal di bawah skim logistik (pergudangan). Perbincangan ini akan diadakan pada 11 Januari depan," katanya.

Beliau berkata, langkah seterusnya adalah mempromosi 84 badan pensijilan dan logo halal luar negara di 46 negara yang diiktiraf JAKIM.

"Pengguna boleh mengenal pasti logo halal luar negara diiktiraf JAKIM pada label bungkusan produk import yang dijual di pasaran. Pengimport pula mudah mengenal pasti produk ingin dibawa masuk agar mempunyai sijil halal diiktiraf bagi mengelak kerugian dan keraguan (status halal).

"Rakyat Malaysia yang ingin melancong ke luar negara juga boleh menjadikan logo halal yang diiktiraf ini sebagai rujukan dan panduan dalam memperoleh produk atau mengunjungi premis makanan yang telah dipersijilkan halal di negara berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pelan tindakan keempat adalah mengadakan lawatan pemantauan ke premis pengimport daging, pemegang SPHM dan rumah penyembelihan dengan meningkatkan aktiviti pemeriksaan terhadap pemegang SPHM.

"Pelan seterusnya adalah penambahbaikan SOP Pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Luar Negara sedia ada, antaranya pengkelasan dari segi kepakaran Badan Pensijilan Halal Luar Negara seperti skim kosmetik, farmaseutikal, makanan, minuman dan sebagainya.

"Selain itu, memperkemaskan sistem aplikasi pengesanan produk dipersijilkan halal oleh Badan Pensijilan Halal Luar Negara diiktiraf JAKIM dan mengkaji semula permohonan baharu, pembaharuan dan penarikan pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Luar Negara diiktiraf JAKIM berdasarkan SOP terbaharu," katanya.

Pelan tindakan keenam, katanya, adalah memberi kefahaman kepada masyarakat melalui sketsa pendek bertujuan menerangkan SOP pengimportan daging dan produk daging ke Malaysia.

Abdul Aziz berharap industri daging import dan tempatan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan menggalakkan penggiatnya untuk membuat permohonan SPHM agar tiada lagi isu berkaitan penyeludupan daging diragui status halal, tiada logo halal dan tidak diiktiraf JAKIM.

Semalam, Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam program temubual disiarkan laman Facebook agensi itu, mengakui wujud kelemahan SOP pembangunan pensijilan halal, sekali gus berisiko menyebabkan bekalan daging sejuk beku yang dibawa masuk ke negara ini diragui status halalnya.

Beliau juga menjelaskan, dalam membangunkan SOP pensijilan halal, JAKIM tidak bergerak sendiri, sebaliknya turut membabitkan beberapa agensi dan kementerian lain.

Awal minggu ini, pelbagai pihak, termasuk pemimpin politik, dewan perniagaan dan persatuan pengguna mahu kerajaan bertindak segera menangani isu kartel daging import seludup serta status halalnya yang mencetuskan kebimbangan umat Islam di negara ini.

Tindakan dicadangkan termasuk mewujudkan pasukan siasatan khas, malah ada menyarankan penubuhan RCI bagi menyiasat kegiatan itu dan mendedahkan semua pihak yang terbabit. Ada juga meminta didedahkan jenama menggunakan label halal diragui supaya pengguna, terutama umat Islam boleh berhenti membeli produk terbabit.

Terdahulu, media mendedahkan kartel pengimportan daging sejuk beku dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya, dipercayai 'membeli' beberapa kakitangan kerajaan, termasuk pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

BH juga melaporkan sumber yang rapat dengan siasatan kes terbabit, mendakwa kartel mempunyai 'orang dalam' pada semua peringkat prosedur dan pemeriksaan di pintu masuk, menyebabkan mereka kebal sehingga mampu beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu.

Rampasan 30 tan daging sejuk beku yang dipercayai dibungkus semula dan kemudian menggunakan tanda halal palsu di Johor pada awal bulan ini, didakwa sebahagian bukti kegiatan kartel yang disyaki dibantu beberapa penjawat awam yang menyalahguna kuasa.

Tiada ulasan: