Selasa, 29 Disember 2020

Dua terbunuh, lori brek rosak rempuh tujuh kenderaan

Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT
SEBUAH lori yang mengalami masalah brek merempuh tujuh kenderaan dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat berhampiran Plaza Tol Machap, Kluang, Johor.

KLUANG: Dua terbunuh dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan tujuh kenderaan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Plaza Tol Machap di sini hari ini.

Difahamkan kejadian berlaku pada pukul pada pukul 3.46 petang itu berpunca akibat brek sebuah lori tanpa muatan yang gagal berfungsi sebelum merempuh kenderaan lain berhenti di hadapan.

Menurut maklumat awal, kemalangan itu melibatkan beberapa kenderaan di persimpangan lampu isyarat dari susur keluar Plaza Tol Machap menghala ke Machap. 

Info awal saksi di lokasi, sebuah lori menghadapi masalah brek lalu merempuh beberapa kenderaan di persimpangan tersebut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor memaklumkan, terdapat 14 mangsa terlibat dalam kejadian itu termasuk dua orang terkorban di lokasi.

Katanya, identiti dua mangsa terkorban adalah pasangan suami isteri iaitu, Wong Fok On dan Chong Wok Choo yang merupakan penumpang kereta Hyundai Elantra.

“Kemalangan ini melibatkan lapan kenderaan iaitu Hyundai Elantra, Naza Citra, Proton Bezza, Volksawagen Tiguan, Perodua Alza dan tiga lori.

“Semua mangsa cedera parah dan cedera ringan telah dikeluarkan oleh orang ramai manakala dua mangsa terkorban tersepit dikeluarkan anggota bomba yang tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ujarnya, mangsa yang maut kemudian diserahkan kepada pihak polis.

Seramai 10 anggota bomba dikejarkan ke lokasi dengan dua jentera sejurus menerima panggilan kecemasan. – UTUSAN

Tiada ulasan: