Khamis, 31 Disember 2020

Covid-19: Johor tertinggi, 1,870 kes positif baharu .

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,870 kes positif baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada 110,485 kes dengan kebolehjangkitan sebanyak 22,562 kes.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan wabak itu dalam negara pula adalah sebanyak 1,868 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat pertama kalinya, Johor mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 607 kes atau 32.5 peratus.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 578 kes atau 95.2 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid -19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Menurutnya, peningkatan kes di Johor dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok Choh yang melaporkan sebanyak 374 kes atau 61.6 peratus.

“Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 472 kes atau 25.2 peratus dan Sabah sebanyak 280 kes atau 15.0 peratus). Sebanyak 402 kes atau 21.5 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Choh atau 374 kes.

“Kluster Penjara Jalan Harapan pula adalah lapan kes, Kluster Pagar Bentong (enam kes), Kluster Tembok Mempaga (enam kes), Kluster Tembok (empat kes), Kluster Pagar Siput (tiga kes), Kluster Tembok Gajah (dua kes) dan Kluster Hala Mutiara sebanyak satu kes,” katanya dalam satu kenyataan harian berkaitan Covid-18 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, sehingga kini, terdapat 131 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau memberitahu, terdapat pertambahan enam kes kematian Covid-19 pada hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 463 kes atau 0.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan pada hari ini bilangan kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 745 kes.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada wabak itu adalah sebanyak 87,460 kes atau 79.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: