Isnin, 28 Disember 2020

Anggota MPV dilengkapi jaket keselamatan baharu

Oleh Omar Ahmad
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Amana, Datuk Zainal Abidin Kasim (kiri) memeriksa jaket keselamatan pantulan cahaya berciri keselamatan baharu selepas merasmikan Majlis Penyerahan ‘rerlective bullet proof vest level II with anti stab’ dan baju Skuad Aman Wanita di IPK Johor, hari ini. - Foto NSTP/Zain Ahmed
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Amana, Datuk Zainal Abidin Kasim (kiri) memeriksa jaket keselamatan pantulan cahaya berciri keselamatan baharu selepas merasmikan Majlis Penyerahan ‘rerlective bullet proof vest level II with anti stab’ dan baju Skuad Aman Wanita di IPK Johor, hari ini. - Foto NSTP/Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Anggota kereta peronda polis (MPV) kini dilengkapi jaket keselamatan pantulan cahaya dengan ciri-ciri keselamatan baharu yang lebih terjamin.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata pihaknya menerima 800 unit 'rerlective bullet proof vest level II with anti stab' yang diagihkan kepada semua kontinjen seluruh negara.

Katanya, jumlah agihan diberi mengikut keperluan anggota dan kecenderungan jenayah di setiap negeri.

"Bagi fasa pertama, 800 unit jaket keselamatan diterima dan keutamaan agihan kepada petugas MPV seluruh kontinjen.

"Kontinjen Johor menerima 100 unit berikutan kontinjen besar dengan 13 daerah polis serta risiko kerap berlaku insiden. Kita beri jaket ini mengikut keperluan seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang.

"Fungsi jaket keselamatan adalah memberi perlindungan balistik terhadap tembakan daripada peluru kaliber 9 mm, perlindungan daripada tikaman serta dilengkapi pantulan cahaya bagi memberi perlindungan kepada anggota yang bertugas pada waktu malam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Penyerahan 'rerlective bullet proof vest level II with anti stab' dan 400 baju Skuad Aman Wanita (AMANITA) di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Zainal Abidin berkata sebelum ini anggota MPV hanya dibekalkan jaket keselamatan pantulan cahaya tanpa ciri keselamatan.

Katanya keperluan jaket keselamatan dengan ciri keselamatan ini adalah mengambil kira cabaran terutama anggota MPV berhadapan dengan penjenayah yang mungkin mempunyai senjata bagi mengelakkan risiko kecederaan ditembak atau ditikam penjenayah.

"Jaket keselamatan baharu ini mempunyai jangka hayat 10 tahun dengan anggaran berat empat kilogram, amat sesuai digunakan sebagai alatan keselamatan sokongan ketika bertugas.

"Kita mempunyai 3,000 MPV dan memerlukan 6,000 unit jaket keselamatan untuk anggota. Setakat ini baru perolehi 800 unit dan berharap kerajaan dapat membekalkan lagi jaket berkenaan mengikut keperluan dan bajet tahun depan," katanya.

Tiada ulasan: