Isnin, 30 November 2020

Tidak patuh SOP: Dua restoran dikenakan kompaun di Jempol

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
MOHD Hafiz Muhammad Nor (dua, dari kiri) dan Raja Norazli Raja Nordin (kiri) membuat pemeriksaan pematuhan SOP di premis restoran sekitar Jempol kelmarin.- Gambar Ihsan Polis

JEMPOL: Dua premis restoran di daerah ini dikenakan kompaun dalam Pemeriksaan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol bersama Majlis Perbandaran Jempol, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kedua-dua buah restoran itu dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana kesalahan tidak mempunyai penyukat suhu dan gagal memastikan penjarakan sosial.

“Kedua-dua buah restoran ini masing-masing terletak di Bahau dan Batu Kikir. Kedua-duanya dikenakan kompaun atas kesalah tidak mengambil langkah-langkah bagi mencegah dan mengawal penyakit berjangkit mengikut Seksyen 11(2) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Kompaun RM1,000 itu mesti dijelaskan dalam tempoh 14 hari dan jika tidak dibayar boleh di dakwa di mahkamah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Chang Hook, pemeriksaan tersebut dijalankan bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol,  Deputi Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol, Raja Norazli Raja Nordin.

“Sebanyak 50 buah restoran di sekitar Bahau, Taman Puan Chik, Bahau dan pekan Batu Kikir diperiksa kali ini.

“Pemeriksaan kali ini adalah bagi memastikan setiap premis dan individu yang menjalankan aktiviti perniagaan supaya mematuhi SOP yang telah di tetapkan dalam tempoh PKPB,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: