Jumaat, 27 November 2020

Sarjan Norihan selamat jalani pembedahan buang dua peluru

 Oleh NOOR HASLIZA NUSI

NORIHAN Tari yang dibawa dengan ambulans tiba di Hospital Pulau Pinang kira-kira pukul 9.20 malam kelmarin. - FOTO/NOOR HASLIZA NUSI

GEORGETOWN: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan Tari, 39, yang terlibat dalam insiden tembakan di pos kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis Selasa lalu selesai menjalani pembedahan membuang dua butir peluru pada perut semalam.

Pembedahan yang mengambil masa lebih empat jam bermula pukul 1.30 petang itu dijalankan oleh kumpulan pakar Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar ketika dihubungi berkata, anggota terbabit kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan tersebut.

“Anggota itu masih belum sedar dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP untuk pemantauan pakar.

“Kita masih menunggu makluman daripada pihak hospital berhubung pembedahan susulan membuang sebutir lagi peluru pada paru-paru anggota terbabit. Kita akan maklum kelak sebaik sahaja menerima maklumat tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Terdahulu, Norihan tiba di  HPP dengan ambulans pada pukul 9.20 malam kelmarin selepas selesai menjalani pembedahan usus di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Turut menemani Norihan di HPP ialah dua anggota keluarganya termasuk isteri dengan diiringi anggota polis.

Dalam kejadian pukul 3.10 pagi Selasa lalu, Norihan dan seorang lagi anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkena tembakan dipercayai oleh anggota kumpulan penyeludup ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis.

Bagaimanapun, Baharuddin maut di tempat kejadian selepas ditembak di bahagian kiri perut. – UTUSAN

Tiada ulasan: