Ahad, 22 November 2020

Polis tahan lelaki disyaki lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan, kelmarin, kerana disyaki melakukan amang seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

Suspek berusia 45 tahun didakwa melakukan perbuatan itu ketika mangsa bersendirian di rumahnya di Petaling Jaya, 3 November lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, suspek yang juga suami kepada pengasuh mangsa, dikatakan pergi ke kediaman berkenaan dengan alasan untuk memulangkan pelitup muka yang tertinggal oleh kanak-kanak terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata ketika berada di dalam rumah itu, suspek didakwa telah meraba mangsa.

Katanya, mangsa dikatakan terkejut dengan perbuatan suspek lalu menjerit ketakutan menyebabkan lelaki itu panik dan melarikan diri.

Susulan itu, beliau berkata, mangsa menghubungi ibu saudaranya dan menceritakan kejadian berkenaan.

"Kira-kira jam 9 malam tadi (malam kelmarin), ibu saudara mangsa bersama suaminya terserempak dengan suspek ketika mereka pulang dari kerja.

"Suami ibu saudara mangsa memanggil suspek tetapi suspek didakwa cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan antara mereka berdua," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, suspek kemudian berjaya ditangkap lalu dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya dan diserahkan untuk tindakan lanjut.

"Suspek yang bekerja sebagai pemandu 'forklift' (jentera pengangkat barang), direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat," katanya.

Tiada ulasan: