Ahad, 22 November 2020

Pesawat ringan mendarat cemas di Lebuhraya PLUS di Johor

Pesawat ringan jenis Beechcraft model 35 Bonanza yang menghadapi masalah teknikal, 
melakukan pendaratan cemas di Lebuhraya PLUS dekat Sedenak pagi tadi. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft model 35 Bonanza membuat pendaratan kecemasan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Sedenak di Johor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chester Voo berkata, menara kawalan trafik udara CAAM Johor menerima panggilan pada 10.40 pagi daripada juruterbang pesawat yang memohon berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru kerana menghadapi masalah teknikal.

“Pesawat persendirian yang dikendalikan oleh Premier Air Singapore itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Seletar di Singapura ke Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 2 juruterbang warga Singapura dilaporkan dalam keadaan stabil dan pesawat sudah dipindahkan ke lokasi yang tidak menghalang lalu lintas lebuh raya.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat sudah menyelesaikan semua tugas dan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan akan menyiasat kejadian itu.

Tiada ulasan: