Sabtu, 28 November 2020

Perlu tambah geran bantuan kepada pengusaha bas sekolah

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR
MOHD. Azizee Hasan (berdiri, lapan dari kiri) pada majlis sumbangan wang tunai dan barangan dapur kepada 25 pengusaha dan pemandu bas di kawasan Nilai dekat sini hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.

SEREMBAN: Persatuan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mencadangkan kerajaan menambah geran kepada pengusaha-pengusaha bas sekolah yang kini terkesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Presidennya, Mohd. Azizee Hasan, golongan tersebut juga mempunyai banyak tanggungan selain pembiayaan pinjaman yang perlu dijelaskan namun berdepan kesukaran kerana sumber pendapatan yang terjejas ekoran penutupan sekolah.

“Kami cadangkan kerajaan memberi geran tambahan iaitu antara RM5,000 hingga RM6,000 berbanding sebelum ini sebanyak RM3,000. Walaupun kerajaan sudah membantu tetapi ada beberapa aspek tertentu perlu dibantu lagi sebab Covid-19 ini pun kita tidak tahu akan selesai bila,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua Ikatan Muslim Malaysia (Isma) Cawangan Nilai berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan dapur kepada 25 pengusaha dan pemandu bas di kawasan Nilai dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Bendahari Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan, Jamsari Mohamad.

Tambah Mohd. Azizee lagi, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk membenarkan pembukaan sekolah di kawasan-kawasan yang tidak begitu terjejas dengan penularan Covid-19.

“Perkara ini saya kira wajar untuk memastikan bas sekolah beroperasi dan akan memberi peluang kepada pemandu bas untuk kembali menjalankan aktiviti pengangkutan bas ke sekolah. Ia Secara tidak langsung mengembalikan kembali sumber pendapatan mereka,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: