Jumaat, 27 November 2020

Pendakwah selebriti ditahan, dakwa rogol seorang gadis

SHAH ALAM: Seorang pendakwah selebriti yang didakwa merogol seorang gadis pada tahun lalu, ditahan polis malam tadi bagi membantu siasatan.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan jam 11 malam selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek ditahan selepas mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan sekitar jam 7.18 malam tadi.

"Difahamkan, mangsa berusia 23 tahun keluar dengan suspek yang dikenali menerusi media sosial Instagram kira-kira jam 8 malam pada 11 September tahun lalu.

"Mangsa menaiki kereta milik suspek jenis BMW untuk membuat perbincangan berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi dengan kaedah perubatan Islam.

"Suspek seterusnya membawa mangsa makan di kedai makan di Batu 3, Shah Alam dan kemudian ke rumahnya iaitu sebuah studio di Seksyen 7 dengan alasan untuk memberikan penerangan berhubung bagaimana hendak pulih daripada penyakit kemurungan," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, ketika berada di rumah berkenaan, mangsa dirogol dan tidak berdaya untuk melawan selain mangsa juga tidak tahu cara keluar dari tempat terbabit.

Katanya, suspek kemudian memberi amaran kepada mangsa untuk merahsiakan perkara itu serta memaklumkan mangsa akan dipantau daripada jauh.

"Keesokan harinya, suspek bertindak menghantar mangsa ke lobi dan mangsa menaiki kenderaan pulang ke rumah sewanya di Subang Jaya menggunakan perkhidmatan e-hailing atau Grab.

"Mangsa yang mengalami tekanan perasaan yang teruk kemudian dimasukkan ke Hospital Kajang serta dirujuk ke rawatan psikiatri dan perlu rawatan susulan pada 23 September tahun lalu," katanya.

Baharudin berkata, pada Oktober tahun lalu, mangsa pulang ke rumah keluarganya di Triang, Pahang dan mendapat rawatan semula di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh dan ditahan selama lima hari di wad psikiatri.

Katanya, pihak hospital juga memaklumkan mangsa mengalami tekanan perasaan serta trauma akibat dari kejadian tersebut dan masih menerima rawatan susulan.

"Suspek akan direman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: