Jumaat, 27 November 2020

Mendiang Baharuddin ditemukan masih genggam pistol

Oleh ZAKI SALLEH
 

IPOH: Sarjan Baharuddin Ramli yang maut dalam kejadian tembakan di sempadan Malaysia-Thailand kelmarin ditemukan dalam keadaan masih menggenggam pistol automatik Walther P99 yang telah kehabisan peluru.

Pegawai Memerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq, Superintenden Rosman Kasman berkata, mendiang menggunakan kesemua dua kelopak peluru pistol yang setiap satu diisi 15 butir peluru  semasa berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup.

Menurutnya, mendiang Baharuddin dan Sarjan Norihan Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah, berjaya mencederakan tiga orang penyeludup daripada kumpulan tersebut.

“Ketika diserang, keadaan ketika itu gelap serta hujan renyai.

“Walaupun dirinya cedera parah, tetapi mendiang Sarjan Baharuddin telah mengarahkan Sarjan Norihan untuk keluar meminta bantuan sementara beliau meneruskan pertempuran hingga kehabisan peluru.

“Sarjan Norihan dalam keadaan cedera dan kesakitan pula berlari keluar dalam keadaan gelap untuk mendapatkan motosikal dan bergegas ke salah satu pos kawalan bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurutnya, semasa kejadian, dua anggota berkenaan ditugaskan membuat tinjauan awal sebelum satu serang hendap dilakukan oleh batalion itu di satu laluan penyeludupan yang telah dikenal pasti hasil maklumat risikan.

Katanya, dalam tinjauan tersebut mereka telah mengenal pasti tempat yang dirasakan paling strategik untuk dijadikan tempat pemerhatian iaitu di satu kawasan belukar tebal di persimpangan laluan denai kira-kira 600 meter dari pagar sempadan.

“Lokasinya berbukit-bukau serta dikelilingi belukar tebal, keadaan muka bumi serta persekitaran yang gelap membataskan pergerakan pasukan keselamatan. 

“Kedua-dua mereka telah memasuki kawasan itu secara taktikal pada pukul 1.30 pagi untuk mengelak dikesan penyeludup.

“Semasa dalam perjalanan menuju ke tempat pemerhatian ini mereka telah terserempak dengan sekumpulan 13 orang penyeludup di mana pihak musuh telah melepaskan tembakan dahulu mengakibatkan kedua-dua mereka tercedera,” katanya.

Menurut Rosman, mendiang Sarjan Baharuddin dan Sarjan Norihan merupakan anggota yang bersikap rendah diri.

“Namun mereka mempunyai semangat juang yang tinggi selain disenangi rakan-rakan sepasukan,” katanya.

Menurutnya, keberanian mendiang Sarjan Baharuddin dan Norihan yang sanggup mempertaruhkan nyawa mencerminkan semangat keperwiraan tidak mengenal gentar semasa berhadapan musuh sepertimana diwarisi daripada para pejuang Senoi Praaq terdahulu.

“Mereka adalah contoh jelas yang telah menunjukkan semangat juang tinggi dan keberanian luar biasa yang dimiliki oleh perwira daripada masyarakat Orang Asli ini di dalam PGA. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: