Selasa, 24 November 2020

Lembaga Zakat Selangor sahkan seorang warga kerjanya positif COVID-19

 Bernama

Lembaga Zakat Selangor sahkan seorang warga kerjanya positif COVID-19
LZS dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, petugas itu disahkan positif COVID-19 semalam selepas menjalani ujian saringan pada Khamis lepas dan sedang menjalani rawatan di hospital. - Gambar fail
 
SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengesahkan seorang warga kerjanya di ibu pejabat institusi itu di Seksyen 13 di sini positif COVID-19.
 
LZS dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, petugas itu disahkan positif COVID-19 semalam selepas menjalani ujian saringan pada Khamis lepas dan sedang menjalani rawatan di hospital.
 
Menurut kenyataan itu, petugas berkenaan sebelum ini dikesan sebagai kontak rapat kepada keluarganya yang terdekat dan telah diarahkan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah sejak 11 Nov lepas.
 
"Sepanjang tempoh kuarantin, kakitangan berkenaan tidak hadir ke pejabat dan tidak berurusan dengan mana-mana warga kerja lain serta pelanggan. LZS bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memastikan semua tindakan bagi mencegah penularan pandemik COVID-19 dilaksanakan segera," menurut kenyataan itu.
 
LZS juga memaklumkan, proses disinfeksi secara menyeluruh telah dilaksanakan di kawasan kerja yang terlibat mengikut garis panduan ditetapkan.
 
Menurut kenyataan itu lagi, pelanggan yang berurusan di LZS dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan di semua cawangan premis institusi berkenaan.-- BERNAMA

Tiada ulasan: