Sabtu, 21 November 2020

Lelaki didakwa serang polis guna rantai mesin gergaji .

Rantai mesin gergaji yang didakwa digunakan dalam kejadian anggota polis diserang di Kampung Pondo, Pulau Gaya, hari ini. - NSTP/JUWAN RIDUAN
Rantai mesin gergaji yang didakwa digunakan dalam kejadian anggota polis diserang di Kampung Pondo, Pulau Gaya, hari ini. - NSTP/JUWAN RIDUAN

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing ditahan kerana didakwa menyerang anggota polis menggunakan rantai mesin gergaji (chainsaw) di Kampung Pondo, Pulau Gaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata kejadian kira-kira jam 10 pagi itu berlaku ketika sepasukan polis sedang menjalankan rondaan operasi 'Ops Poket'.

Katanya, pasukan berkenaan kemudian terserempak dengan seorang lelaki disyaki sedang menghidu gam.

Apabila anggota memperkenalkan diri sebagai polis, beliau berkata, lelaki berusia 21 tahun itu didakwa terus memaki hamun dan mengugut untuk membunuh mereka.

Katanya, suspek didakwa bertindak melibas rantai besi beberapa kali ke arah pasukan polis terbabit sebelum lelaki itu berjaya ditahan.

"Sebaik saja ditahan, pemeriksaan terhadap tubuh badan suspek tidak menemui sebarang kesalahan lain, namun lelaki itu didapati tiada dokumen diri yang sah.

"Polis turut merampas rantai 'chainsaw' yang didakwa digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, seorang anggota polis dilaporkan cedera pada kaki dan tangan kanan, manakala suspek tiada mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.

"Selain itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Tiada ulasan: