Ahad, 29 November 2020

Lawatan mengejut Adham Baba ke PKD, Hospital Tangkak

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
ADHAM Baba ketika melakukan lawatan mengejut di Hospital Tangkak, Johor.

JOHOR BAHRU: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba melakukan lawatan mengejut ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tangkak dan Hospital Tangkak bagi meninjau kesiapsiagaan fasiliti Kementerian Kesihatan mendepani pelbagai situasi.

Menurutnya, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan itu penting selepas Tangkak ‘diserang’ kluster pandemik Covid-19 dengan 14 kes sedang dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang.

“Penting untuk kita lihat kesiapsiagaan fasiliti di mana-mana dan antara fasiliti yang penting ialah Hospital Tangkak itu sendiri dan juga PKD, selain daripada membimbing dan memaklumkan kepada masyarakat tentang program pencegahan awal yang dilaksanakan.

“Kita tidak mahu ada lagi kes Covid-19 muncul di Tangkak dan untuk itu, Tangkak perlu mengukuhkan aktiviti pengawasan atau pemantauannya,” katanya.

Daripada 1,315 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, 46 kes dicatatkan di Johor.

Terdahulu, dalam lawatan kira-kira dua jam itu, beliau menyantuni petugas barisan hadapan yang berkhidmat di pejabat dan hospital terbabit. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: