Selasa, 24 November 2020

Kumpulan wanita buka saluran berbual untuk gadis suarakan pendapat

PETALING JAYA: Pertubuhan Pertolongan Wanita memberi peluang kepada gadis berusia 12 hingga 18 tahun untuk “bercakap mengenai sebarang isu atau kebimbangan mereka” melalui satu saluran perbualan.

Pegawai Pembangunan Kapasiti WAO, Hannah Reshma Jambunathan berkata, Malaysia kekurangan perkhidmatan sokongan untuk gadis muda, khasnya daripada masyarakat terpinggir, dan gadis sering diabaikan kerana berat sebelah terhadap umur serta jantina mereka.

“Mereka layak mendapat peluang dan tumpuan untuk membuat keputusan serta perubahan,” katanya kepada FMT.

“Dengan membenarkan gadis menjadi fokus untuk berkongsi pendapat mereka, dan mendengar serta menghormati apa yang mereka mahu katakan, kita boleh memperkasakan gadis ini, dan terus menormalkan pendekatan berdasarkan hak untuk perubahan sosial bagi gadis kita.

Hannah ialah moderator saluran itu, yang dikendalikan menerusi aplikasi Discord.

Hannah Reshma Jambunathan.

Katanya, ia sebahagian daripada rangkaian yang dikenali sebagai “Girls Takeover!” ditubuhkan WAO pada April lalu ketika tempoh perintah kawalan pergerakan, di mana rakyat terpaksa berhubung dengan rakan dalam talian.

Walaupun namanya sama, rangkaian tempatan itu tidak bergabung dengan gerakan antarabangsa dikenali sebagai “Girls Takeover”, di mana gadis mengambil alih jawatan berkuasa, seperti hakim, presiden, ketua eksekutif, pada Hari Gadis Sedunia.

Hannah berkata, topik perbincangan dalam saluran Discord meliputi rutin harian dan sambutan kekeluarga sehinggalah politik tempatan dan gerakan “Black Lives Matter” di Amerika Syarikat.

Lebih 70 gadis menyertai rangkaian itu setakat ini, dan WAO menyasarkan sekurang-kurangnya 200 gadis menjelang Disember. Gadis berusia 12 dan 18 tahun bebas menyertainya, selepas borang persetujuan ditandatangani ibu bapa atau penjaga.

“Rangkaian kami agak pelbagai, majoriti gadis datang dariada masyarakat terpinggir. Ada yang menghidap HIV dan yang lain, kelainan upaya. Kami juga mempunyai beberapa gadis daripada komuniti pelarian.”

Mereka bercakap mengenai isu seperti hak pendatang asing dan pelarian, penderaan seksual kanak-kanak dan keganasan rumah tangga, serta berkongsi artikel berita mengenai perkara seperti perkauman, dan kemudian berbincang pendapat mereka.

Terdapat juga perbincangan ringan mengenai rutin harian mereka atau sambutan keluarga. Baru-baru ini, beberapa gadis berkcapa mengenai hiasan Deepavali dan cara mereka meraikan perayaan mereka ketika sekatan pergerakan dilaksanakan.

Tiada ulasan: