Sabtu, 28 November 2020

JAWI benarkan masjis akad nikah di semua masjid luar zon merah

azrulhakimie

 

Kebenaran berkenaan akan dikuatkuasakan bermula 1 Disember

KUALA LUMPUR – Berkuat kuasa 1 Disember ini, majlis akad nikah boleh dilangsungkan di masjid-masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang tidak berada di kawasan zon merah.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat mengikut data yang dikeluarkan pihak kerajaan dari semasa ke semasa.

“Jabatan ini telah membuat ketetapan perluasan kebenaran berkahwin bertujuan untuk memberi lebih banyak pilihan tempat akad nikah kepada pasangan yang ingin melaksanakan majlis akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Langkah ini juga bagi mengelak berlakunya perkumpulan atau kehadiran ramai orang di sesebuah masjid pada satu-satu masa,” menurut kenyataan itu.

JAWI memaklumkan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ (PPNCR) bertanggungjawab memastikan semua pihak yang terlibat dalam majlis akad nikah itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pengurusan tertinggi JAWI dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, JAWI hanya membenarkan majlis akad nikah diadakan di Pejabat JAWI Kuala Lumpur, JAWI Cawangan Putrajaya dan premis tertentu yang ditetapkan termasuklah beberapa masjid tertentu sahaja. – Bernama

Tiada ulasan: