Isnin, 30 November 2020

"Jangan hanya pandai politiking tapi tak hadir sidang dewan"

KUALA LUMPUR: Kegagalan Ahli Parlimen menghadiri persidangan Dewan Rakyat tanpa alasan kukuh, bukan sahaja mengganggu perjalanan mesyuarat, malah menjejaskan proses kedaulatan undang-undang.

Pensyarah Kanan Pengajian Politik di Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr Mazlan Ali, berkata setiap Ahli Parlimen seharusnya meletakkan kehadiran ke sidang terbabit sebagai keutamaan.

"Isu ini bukan baharu, sudah banyak kali berlaku. Dahulu dewan kosong sehingga persidangan terpaksa ditangguhkan seketika, bagi memastikan korum dipenuhi sebelum persidangan boleh dimulakan.

"Hari ini, dilaporkan kira-kira 20 Ahli Parlimen tidak hadir. Banyak sangat politiking. Saya pun hairan sebab sepanjang tempoh persidangan kali ini, amat penting untuk meluluskan Belanjawan 2021 yang amat diharapkan rakyat dan negara," katanya kepada BH, hari ini.

Mazlan berkata, semua Ahli Parlimen seharusnya mengambil peluang sesi perbahasan di peringkat jawatankuasa yang sedang berlangsung, untuk memastikan setiap wang yang diperuntukkan, sampai kepada rakyat dan kumpulan sasaran.

Justeru, beliau berharap semua Ahli Parlimen akan memberi tumpuan kepada perbahasan yang sedang berlangsung supaya matlamat Belanjawan 2021 akan tercapai.

"Di mana sikap yang sepatutnya mereka tunjukkan dalam keadaan kononnya prihatin belanjawan, tetapi apabila tiba masa, mereka tidak hadir pula.

"Jika ketidakhadiran itu kerana sakit, rakyat boleh faham tetapi jika sekadar balik melawat kawasan, itu tidak perlu buat masa ini. Rakyat akan persoal mereka kelak sama ada mereka serius untuk berkhidmat atau sebaliknya," katanya.

Pada sesi undian belah bahagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa hari ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan seramai 20 Ahli Parlimen tidak hadir.

Tiada ulasan: