Isnin, 23 November 2020

Ikat sangkar ikan pada pokok

Mohd Rafi Mamat

MOHAMMAD Khairil mengikat sangkar ikan pada pokok kelapa di Kampung Tanjung Kubu, Temerloh bagi mengelakkan ia dibawa arus deras pada musim tengkujuh. FOTO MOHD RAFI MAMAT

Temerloh: Mengikat sangkar ikan pada pokok besar dan tiang konkrit di tepi Sungai Pahang adalah cara terbaik digunakan penternak ikan sangkar di negeri ini setiap kali menghadapi musim tengkujuh.

Mereka menggunakan tali berkualiti tinggi serta kabel besi untuk mengikat sangkar daripada dihanyutkan arus deras air sungai yang turut membawa bersama balak dan bongkah kayu.

Penternak ikan, Mohammad Khairil Johari, 32, berkata setiap tahun dia menyediakan perbelanjaan antara RM100 hingga RM200 untuk membeli tali bersaiz besar dan berkualiti bagi mengikat 24 sangkar di Kampung Tanjung Kubu, Kuala Krau dekat sini.

Menurutnya, sangkar perlu diikat dengan baik bagi memastikan ia tidak hanyut dibawa arus air sungai terutama apabila berlaku banjir dan paras air meningkat dua hingga tiga kali ganda.

"Arus sungai yang deras itu turut membawa bersama balak serta bongkah kayu dan sekiranya tersangkut pada sangkar, sudah pasti berlaku kerosakan dalam masa beberapa minit sahaja.

"Saya rela mengeluarkan sedikit belanja untuk membeli tali bagi mengikat sangkar ikan sebelum perkara buruk berlaku hingga menyebabkan kerugian besar.

"Semua penternak ikan sangkar di sepanjang Sungai Pahang pasti berdebar setiap kali tiba musim tengkujuh, bimbang banjir besar berlaku seperti terjadi pada awal 2014," katanya.

Menurutnya, tindakan mengikat sangkar pada pokok kelapa di tepi Sungai Pahang itu dianggap berkesan dan memuaskan.

Noreha Abd Ghani, 60, yang mengusahakan projek ikan sangkar di Kampung Langgar, Pekan, berkata dia menggunakan kabel besi untuk mengikat sangkar pada pokok besar di tepi Sungai Pahang.

"Suami Abdul Khalid Mohd Yusof, 60, akan membantu mengikat sangkar bagi memastikan tidak hanyut sekiranya banjir berlaku dan setiap kali musim tengkujuh perasaan bimbang pasti datang.

"Setiap kali banjir, kami turut mengawasi balak dan bongkah kayu supaya tidak melanggar sangkar," katanya yang mengusahakan projek ikan sangkar sejak lebih 15 tahun lalu.

Tiada ulasan: