Isnin, 30 November 2020

Cukai rokok elektrik rendah – Kajian

Wartawan MalaysiaGazette
MGF03012019_VAPE02
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kadar cukai ke atas industri rokok elektronik (vape) yang dikenakan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2021 adalah rendah berbanding industri tembakau.

Ini merupakan satu kerugian kepada Malaysia kerana kadar yang dikenakan adalah jauh lebih rendah berbanding industri tembakau, sedangkan potensi kerajaan untuk meraih pendapatan adalah besar.

Ini kerana, ramai perokok tembakau dunia termasuk di Malaysia semakin beralih kepada rokok elektronik.

MQ Consultant berkata, walaupun ia kali pertama diperkenalkan tetapi kadar cukai yang lebih tinggi ini kepada rokok elektronik ini penting dalam mengawal selia pertumbuhan industri rokok elektronik di Malaysia yang diunjur sebagai yang kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat).

Berikutan perbezaan ketara antara kedua-duanya (rokok elektronik dan tembakau), satu kajian yang
teliti ke atas struktur cukai perlu dilakukan.

Kerajaan tidak boleh menggunakan satu ukuran atau struktur cukai sesuai untuk semua,” tambah MQ Consultant, sebuah syarikat penyelidikan dan teknologi tempatan yang terlibat dalam melakukan kajian mendalam terhadap industri rokok elektronik di Malaysia.

Dalam Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata mengumumkan duti eksais sebanyak 40 sen untuk setiap mililiter (mL) cecair rokok elektronik akan mula dikuatkuasakan mulai Januari 2021.

MQ Consultant berkata, berdasarkan perkembangan di peringkat dunia, Malaysia boleh dikatakan agak lambat
dalam mengenakan cukai ke atas rokok elektronik namun usaha sedang digerakkan untuk mengawal selia dan memastikan industri berkenaan berkembang pesat dengan cara yang lebih teratur.

Di peringkat Asia, Indonesia, Filipina dan Korea telah pun memperkenalkan cukai ke atas rokok elektronik seawal 2011 dan ketiga-tiga negara itu telah mengenakan tarif cukai yang lebih tinggi berbanding di Malaysia.

Pada masa ini, Malaysia bercadang mengenakan cukai AS$0.10 (40 sen) bagi setiap mililiter (mL) manakala di Filipina, bagi setiap mililiter (mL) cukai yang dikenakan ialah AS$0.76.

Sebagai perbandingan, di Indonesia, cecair rokok elektronik (kecuali yang diisi dalam ‘pod’) dikenakan cukai sehingga 57 peratus, empat (4) kali ganda daripada kadar eksais maksimum ke atas rokok tembakau biasa.

“Isu-isu berkaitan penggunaan rokok elektronik memerlukan kajian rapi dilakukan oleh pihak kerajaan dan cadangan untuk mengenakan cukai yang tinggi boleh dilihat sebagai satu langkah pencegahan yang baik, berbanding mengharamkan penggunaannya.

Meskipun terdapat kes-kes negatif yang terpencil di seluruh dunia, para penyelidik kebanyakannya bersetuju bahawa penggunaan rokok elektronik merupakan pilihan yang lebih baik berbanding dengan rokok tembakau.

MQ Consultant juga menambah, melalui kajian dan maklumat yang sedang giat dikumpul di dalam dan luar negara, Kerajaan Malaysia boleh menggunakan rokok elektronik sebagai alat ke arah mewujudkan masyarakat bebas asap rokok yang diakui memudaratkan perokok dan juga orang ramai.

“Usaha ini bukanlah sekadar satu eksperimental semata-mata kerana Kerajaan New Zealand sendiri telah berbuat demikian dalam usaha mencapai matlamatnya, menjadikan negara pulau itu bebas asap rokok pada tahun 2025,” katanya.

Bancian terkini menunjukkan terdapat tiga juta pengguna rokok elektronik di Malaysia pada masa ini.

Ujarnya, walaupun industri rokok elektronik di Malaysia diunjurkan bernilai berbilion ringgit, ia masih dianggap sebagai ekonomi gelap yang berpotensi mengakibatkan kerugian yang besar kepada negara.

Berikutan meningkatnya pengguna rokok elektronik dan berkurangnya penghisap rokok tembakau, Kerajaan tidak seharusnya terlepas untuk memanfaatkan perubahan tabiat yang berlaku di seluruh dunia.

Dengan mengadakan peraturan percukaian, satu situasi yang menguntungkan semua pihak boleh diwujudkan, ia bukan hanya meningkatkan sumbangan kepada ekonomi negara tetapi juga membantu usaha kerajaan dalam menambah baik kehidupan sosial dan kesihatan rakyat Malaysia dalam tempoh jangka panjang, katanya.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: