Sabtu, 21 November 2020

Bekas pegawai Perbendaharaan tolak idea cetak wang

Dalam temu bual di radio, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal 
berkata, Bank Negara boleh mencetak dan mengagihkan wang kepada golongan miskin 
bagi membantu perbelanjaan mereka.

PETALING JAYA: Bekas ketua setiausaha Kementerian Kewangan Sheriff Kassim, mengkritik cadangan supaya Bank Negara (BNM) mencetak dan mengagih wang kepada orang ramai dengan berkata, itu bukanlah caranya sebuah bank pusat menambah kecairan dalam ekonomi.

Sheriff berkata, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal mungkin berfikir tentang “permaidani ajaib Aladdin” ketika membuat cadangan supaya BNM mencetak dan mengagih wang kepada kumpulan B40 bagi meningkatkan kuasa beli mereka.

“BNM tidak akan berbuat begitu kerana bukan itu fungsi bank pusat,” katanya.

Beliau berkata, BNM mencetak wang untuk membeli hutang dalam bentuk bon yang dikeluarkan oleh kerajaan dan sektor swasta.

Sheriff Kassim.

Dengan membeli hutang menggunakan wang yang dicetak, bank pusat secara tidak langsung menambah kecairan dalam ekonomi.

“Bank pusat di seluruh dunia, seperti juga BNM, tidak memberi wang kepada kerajaan untuk diagihkan seperti cadangan timbalan menteri itu.

“Tiada bank pusat yang mencetak wang seperti Santa Claus memberi gula-gula kepada kanak-kanak semasa Krismas, melainkan di ‘banana republic’,” katanya.

Wan Ahmad mengutarakan idea itu pada temu bual di radion BFM, sekali gus mencetuskan kritikan banyak pihak.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong dilaporkan mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya menegur Wan Fayhsal.

Sim, yang juga merupakan bekas timbalan menteri belia dan sukan, menggesa Muhyiddin melarang Wan Fayhsal bercakap mengenai ekonomi.

Tiada ulasan: