Khamis, 15 Oktober 2020

Tamatkan kemelut, ISMA syor Agong ambil alih pemerintahan

ainulillia

 

Pegang tampuk buat sementara waktu sehingga berlangsung PRU15

BANGI – Bimbang akan kemelut politik negara yang seakan tiada kesudahannya, gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengesyorkan Yang di-Pertuan Agong mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Hal ini ekoran daripada tindak-tanduk politikus yang semakin tidak terkawal, dengan saling himpit-menghimpit di antara satu sama lain demi meraih laba politik dan peribadi.

Atas dasar prihatin, Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya berharap, Seri Paduka mengetuai pentadbiran negara buat sementara waktu sehingga ke suatu tarikh yang difikirkan sesuai.

“Jika kemelut politik negara kali ini berpanjangan, saya mencadangkan agar Yang di-Pertuan Agong ambil alih sahaja pemerintahan negara dari ahli-ahli politik yang ada ini buat sementara waktu sehingga tibanya saat yang sesuai untuk diadakan PRU15. Daulat Tuanku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, ketidakstabilan politik negara ketika ini berpunca daripada parti kerajaan ‘Melayu-Islam’ itu sendiri, yang disifatkan sebagai mengecewakan.

Katanya, semenjak kerajaan ‘Melayu-Islam’ digelar Perikatan Nasional (PN) terbentuk lebih kurang 10 bulan yang lalu, boleh dikatakan isu-isu politik negara tidak pernah tenang. 

“Saya sebenarnya tidak hairan sangat jika pembangkang yang menimbulkan ketegangan politik tetapi, ketidaktenangan juga banyak yang datang daripada konflik dalaman parti-parti kerajaan,” katanya.

Katanya lagi, meskipun antara mereka sudah memerintah dan memegang pelbagai jawatan sama ada sebagai menteri atau ketua GLC, namun masih terdapat juga kelompok yang tidak berpuas hati.

“Mungkin kerana mereka sudah memerintah negara begitu lama sehinggakan tidak mampu menerima jika ada sahaja keinginan mereka tidak dipenuhi. 

“Sejak bila pulakah jawatan-jawatan dalam kerajaan itu hak milik mutlak parti politik yang memerintah atau parti politik yang punyai banyak kerusi?

“Ia hanya suatu tradisi yang direka-reka oleh para politikus sejak sekian lama. Maka, mereka yang bersungguh-sungguh bergaduh kerana berebut jawatan sesama sendiri ini sangatlah tidak bermaruah,” katanya.

Perilaku mereka itu pada masa sama, tegas Aminuddin, hanya menyebabkan ekonomi menjadi tidak stabil, merosot dan menjejaskan rakyat. 

Bahkan, katanya, lebih malang apabila perebutan kuasa ini berlaku semasa krisis pandemik seperti sekarang. 

“Rakyat sudah bosan dengan kerenah politikus kerana rata-ratanya lebih memikirkan survival diri dan keluarga dalam saat-saat getir krisis ekonomi ini.

“Walaupun PRU15 sudah tidak lama lagi, tetapi mereka tidak sabar. Tetapi ingatlah, rakyat sudah lama bersabar dan mereka sedang memerhati dalam diam. Jangan lupa dan ambil remeh akan perkara ini,” katanya.

Tiada ulasan: