Selasa, 13 Oktober 2020

Suspek sindiket ‘cuci duit’ larikan diri elak ditahan polis

azrulhakimie

 

Individu berjaya loloskan diri bukan seorang bergelar ‘Datuk Seri’

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang suspek sindiket ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan beberapa selebriti tanah air, melarikan diri ketika hendak ditahan semula di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Sumber berkata suspek yang telah selesai proses jaminan oleh SPRM dan sedang menunggu untuk diserahkan kepada penjamin, bagaimanapun bertindak meloloskan diri.

Berdasarkan maklumat sumber kepada Bernama, individu yang melarikan diri itu bukan seorang yang bergelar ‘Datuk Seri’ dan SPRM yakin suspek akan ditahan semula dalam tempoh terdekat.

Pada 8 Oktober, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya mengesan ratusan syarikat dami diwujudkan bagi mengaburi pihak berkuasa berhubung sindiket berkenaan.

SPRM turut menyita 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya (Ford) Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porsche serta beberapa motosikal berkuasa tinggi dimiliki ahli sindiket dipercayai hasil kegiatan haram.

Sebelum ini, SPRM turut memanggil pasangan selebriti untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram berkenaan. – Bernama

Tiada ulasan: