JABATAN Agama Islam Selangor menetapkan semua masjid dan surau di negeri itu untuk menangguhkan solat Jumaat, solat fardu dan lain-lain aktiviti.

Keputusan itu dibuat berdasarkan penguatkuasaan Perintan Kawalan dan Pergerakan Bersyarat di Selangor mulai 12.01 tengah malam ini sehingga 27 Oktober depan.

Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penetapan itu melibatkan sebanyak 425 buah masjid, 278 buah surau kebenaran solat Jumaat dan 1,747 surau.

“Tindakan penagguhan ini selaras dengan penguatkuasaan PKPB di Negeri Selangor bagi mengekang penularan Covid-19 yang membimbangkan dari terus menular dalam kalangan masyarakat.

“Keputusan ini juga dibuat selari dengan hasrat JAIS dalam memastikan pentadbiran masjid dan surau di Negeri Selangor dapat memberi kelangsungan keselamatan.” katanya.

Bagaimanapun bagi solat berjemaah 5 waktu perlu dilaksanakan dengan had bilangan jemaah tidak melebihi tiga orang sahaja. Azan juga perlu dikumandangkan pada setiap kali masuk waktu sembahyang.-SM