Rabu, 14 Oktober 2020

PKPB tambah tekanan pada migran tertekan, kata kumpulan hak asasi

Amnesty Malaysia berkata, kerajaan perlu berinteraksi dengan pekerja asing untuk 
mengurangkan penyebaran Covid-19 dalam kalangan mereka.

PETALING JAYA: Organisasi hak asasi manusia memberi amaran pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan membawa kesan lebih teruk kepada pekerja asing berbanding Mei lalu.

Jurucakap Amnesty, Fortify Rights dan Inisiatif Utara-Selatan berkata, pekerja terbabit masih dibelenggu kesan penutupan terdahulu dan amat memerlukan perlindungan kerajaan.

Katrina Jorene, pengarah eksekutif Amnesty International Malaysia memberitahu FMT, kerajaan perlu berinteraksi dengan pekerja asing untuk meminimumkan penyebaran Covid-19 dalam kalangan mereka.

Beliau berkata, semua sektor ekonomi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya perlu terus beroperasi.

“Memandangkan peningkatan kes di daerah tersebut, perlindungan apa yang diberi kepada semua pekerja, termasuk migran untuk mencegah jangkitan di tempat kerja?”

Katanya, Amnesty bimbang PKPB akan digunakan untuk mewajarkan serbuan dan pengusiran.

“Pihak berkuasa perlu melaksanakan langkah untuk melindungi orang ramai daripada Covid-19 tanpa mengira identiti atau status imigrasi mereka, termasuk mereka yang berada dalam tahanan, pendatang asing tanpa izin dan ribuan orang tanpa kerakyatan.”

Pakar hak asasi manusia di Fortify Rights, John Quinley berkata, pelarian di Malaysia tidak mempunyai akses kepada pakej rangsangan ekonomi dan mereka sering dibiarkan bersendirian tanpa bantuan.

“Kerajaan perlu bekerjasama dengan masyarakat sivil untuk memenuhi keperluan komuniti migran.”

Katanya, ramai migran berdepan masalah perumahan ketika PKPB fasa pertama dan mungkin terpaksa menghadapinya sekali lagi.

“Mereka memerlukan perlindungan bersesuaian untuk memenuhi keperluan mereka, termasuk akses kepada makanan dan kemampuan membayar untuk tempat tinggal.”

Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira berkata, komuniti migran “belum pulih daripada semua penindasan buruh dan kehilangan pekerjaan” ketika tempoh PKP dan PKPB fasa pertama.

Katanya, “kali ini, saya rasa keadaan lebih teruk” memandangkan pemberhentian pekerjaan baru dan kerugian pendapatan akan “memburukkan lagi keadaan tidak menentu”.

Beliau berkata, syarikat menjadi lebih terdesak untuk mengurangkan kos bagi menampung kerugian dan mereka mungkin “meningkatkan amalan buruh paksa”.

Dengan mendakwa terdapat syarikat menggunakan PKP dan PKPB fasa pertama untuk melanggar undang-undang buruh, beliau menggesa pihak berkuasa “menyarung pakaian hazmat mereka, masuk ke kilang dan meneruskan pemeriksaan”.

Tiada ulasan: