Selasa, 20 Oktober 2020

Pesuruhjaya sumpah enggan ulas, suruh tanya Maszlee

Muhammad Azizul Osman
MG020120_PC-MASZLEE06-681x454
Dr. Maszlee Malik.

KUALA LUMPUR – ‘Saya tidak boleh komen.’

Itu kata Pesuruhjaya Sumpah, Ammar Mohamad Dahalan mengenai surat Akaun Bersumpah (SD), Dr Maszlee Malik berhubung dakwaan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular baru-baru ini.

Justeru itu katanya, pihak media lebih elok untuk menghubungi bekas Menteri Pendidikan itu sendiri bagi bertanyakan pengesahan berkenaan isu berkenaan.

“Saya tidak boleh jawab isu ini. Baik tanya tuan badan sendiri boleh?

“Saya tidak boleh jawab sebab ini di bawah Akta Kerahsiaan. Saya tidak boleh jawab,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Nama Ammar tertera sebagai Pesuruhjaya Sumpah pada SD satu muka surat yang menunjukkan nama serta nombor kad pengenalan Maszlee.

Minggu lalu, SD didakwa milik Ahli Parlimen Simpang Renggam itu tular kerana memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan tular di media sosial.

Menerusi surat itu Maszlee yang memenangi kerusi Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum ke-14 dikatakan menyatakan sokongan yang tidak berbelah bagi dan setia kepada Anwar.

“Saya seikhlasnya memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi dan setia kepada YB, Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson (P132), untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan (ke-9) sehingga sidang Parlimen keempat belas (ke-14) dibubar oleh YB. Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim,” katanya di dalam SD yang belum dapat dipastikan kesahihannya itu.

SD itu ditandatangan pada 9 Oktober lalu.

Menurut SD itu juga, Maszlee bersedia menjunjung titah untuk menghadap pada bila-bila masa yang diperkenankan oleh Baginda bagi mengesahkan Akuan Bersumpah ini.

“Saya juga menyatakan bahawa Surat Akuan Bersumpah ini diikrarkan untuk mengesahkan datuk Seri Anwar mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan (ke-9) selaras dengan Perkara 43. (2) (a) dan perkara 40. (2) (a) Perlembagaan Persekutuan dan kandungannya ini adalah muktamad dan tidak boleh dibatalkan dalam apa keadaan dan apa sebab serta alasan sekalipun sehingga sidang Parlimen keempat belas (ke-14) dibubarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: