Rabu, 14 Oktober 2020

Pemuda Umno Sabah persoal Masidi jurucakap Covid-19 .

Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain berkata beliau bukan menidakkan 
pengalaman dan kebijaksanaan Masidi Manjun untuk menggalas tugas itu namun 
kerajaan negeri mempunyai organisasi.

KOTA KINABALU: Pemuda Umno Sabah hari ini mempersoalkan pelantikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun, sebagai jurucakap rasmi kerajaan negeri berhubung perkembangan terkini Covid-19 di negeri itu.

Ketuanya Abdul Aziz Julkarnain berkata, tugas itu sepatutnya diberikan kepada timbalan ketua menteri sebagai orang paling kanan kepada ketua menteri.

“Umum tahu hirarki pentadbiran kerajaan negeri ini mempunyai 3 timbalan ketua menteri yang seharusnya menjaga pentadbiran negeri sepanjang ketiadaan ketua menteri.

“Namun, ia tidak berlaku dan saya fikir harus diperbetulkan andainya kita terkhilaf tentang fungsi dan peranan masing-masing.

“Atas maksud itu saya berpendapat timbalan ketua menteri adalah orang yang paling wajar untuk menggalas tugas ketua menteri dan menjadi jurucakap rasmi kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Aziz berkata, selain timbalan ketua menteri, menteri yang bertanggungjawab dengan kementerian pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat juga sesuai untuk menjadi jurucakap kerajaan berhubung perkembangan terkini Covid-19 kerana portfolio kesihatan berada di bawah kementerian itu.

Katanya, beliau bukanlah menidakkan pengalaman dan kebijaksanaan Masidi untuk menggalas tugas itu namun kerajaan negeri mempunyai organisasi.

“Ada yang memegang portfolio tertentu yang seharusnya dihormati agar mereka dapat berfungsi dengan baik misalnya, ada yang jaga belia, ada juga yang jaga kesihatan dan seterusnya.

“Saya sebenarnya tidak berapa gemar untuk mengkritik kerajaan Sabah yang baru ditubuhkan, namun sebagai sebahagian jentera yang membantu mendirikan kerajaan pada hari ini, saya tidak boleh memilih untuk berdiam diri.

“Rakyat Sabah, siapa pun dia, layak untuk menegur atau mengkritik sebagai sebahagian daripada proses semak dan imbang, sekiranya kerajaan pada hari ini melakukan kesilapan,” katanya.

Beliau berkata, siapa pun yang dilantik menjadi jurucakap bukanlah 1 isu besar namun hirarki dan fungsi pentadbiran haruslah dihormati sepanjang 5 tahun akan datang.

“Kita baru sahaja bermula dan seharusnya biarlah permulaan itu bermula dengan baik, teratur dan wajar mengikut peranan dan tanggungjawab masing-masing agar setiap menteri tidak keliru akan peranan dan tanggungjawabnya.

“Rakyat jelata sedang mengharapkan sebuah kerajaan yang fokus, tidak keliru dan tahu halatuju untuk membangun negara ini.

“Perjalanan seribu batu bermula dari 1 langkah dan kita baru bermula,” katanya.

Tiada ulasan: