Selasa, 27 Oktober 2020

PDRM siasat 4 pemilik akaun media sosial hina Agong

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap empat pemilik akaun media sosial kerana cenderung menghasut dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya memulakan siasatan pada 21 Oktober membabitkan pemilik akaun Facebook Ronnie Liu Tian Khiew yang memuat naik kenyataan 'Now In Bangkok dan They are saying no to the king'.

Menurutnya, kes kedua adalah kenyataan berunsur penghinaan di akaun Twitter yang menggunakan nama Uncle Ireeve dan siasatan dilakukan pada 25 Oktober.

"Bagi kes ketiga, siasatan dijalankan ke atas pemilik akaun Twitter Liew Lip Nan kerana mempertikai video yang dimuat naik laman rasmi Twitter Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan dengan tujuh wasiat Raja-Raja Melayu.

"Susulan siasatan yang dimulakan pada 25 Oktober, keesokannya Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman menahan seorang lelaki berusia 52 tahun di Cheras dan merampas perkakasan yang disyaki diguna untuk memuat naik kenyataan terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Huzir berkata, pihaknya turut memulakan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook Ho Ruey Terng yang memuat naik kenyataan menghina Agong.

Katanya, keempat-empat kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja atau kerajaan.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap individu terbabit kerana menghasut dan pihaknya akan mengesan kesemua individu terbabit dan pemilik akaun Facebook serta Twitter berkenaan diminta tampil menyerah diri di USJT Bukit Aman.

"PDRM menggesa rakyat sentiasa menghayati prinsip Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara bagi mengelakkan pelakuan kecenderungan menghasut terhadap Raja atau kerajaan," katanya

Tiada ulasan: