Rabu, 28 Oktober 2020

PBT digesa kutip sewa cara baik daripada golongan miskin

Mageswari Krishnasamy dan anaknya berusia 5 tahun, Keashav.

GEORGE TOWN: Pakar menggesa pihak berkuasa tempatan mengutip sewa daripada penyewa flat kerajaan dengan cara baik, terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Pakar ekonomi, Madeline Berma berkata, skim pembayaran balik diperlukan supaya penyewa boleh membayar mengikut kemampuan mereka.

Kenyataannya menyusul kisah seorang ibu tunggal di Pulau Pinang berdepan pengusiran dari flat kerajaan kerana gagal membayar sewa RM97 selama 6 bulan. Wanita itu kehilangan pekerjaannya ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan Mac lalu.

“Pada waktu sukar ini, kita perlu mempunyai jaringan keselamatan sosial atau skim pembayaran semula insurans mikro mengikut kemampuan keluarga berpendapatan rendah.

Madeline Berma.

“Semua cara perlu dikaji untuk membolehkan wanita di Pulau Pinang itu dan anak-anaknya kekal di sana. Beliau hanya patut diminta membayar sewa berpatutan apabila mendapat pekerjaan. Keluarga itu tidak patut diusir kecuali mereka mengancam keselamatan,” kata Berma kepada FMT.

Ahli sosiologi, Denison Jayasooria berkata, pihak berkuasa di Pulau Pinang perlu menangguhkan kutipan sewa rumah daripada mereka yang berdepan kesukaran.

“Saya rasa kerajaan tempatan perlu mempunyai lebih berbelas kasihan. Pulau Pinang adalah negeri kaya dan ketika pandemik, mereka perlu mempertimbangkan penangguhan kutipan sewa.”

Minggu lalu, Mageswari Krishnasamy, 31, yang hilang pekerjaan sebagai pencuci pinggan pada Mac lalu, menerima notis pengusiran dari flat kerajaan di Taman Free School daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang

. 

Denison Jayasooria.

Beliau tidak dapat membayar sewa bulanan RM97 kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

Beliau membuat kerja rencam seperti mengemas rumah untuk RM50 selama 4 jam dan memotong sayur untuk RM20 sehari, tetapi permintaan kini berkurangan akibat Covid-19.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menulis surat kepada MBPP meminta notis pengusiran ditarik balik dan tunggakannya dibatalkan.

Selepas penderitaan Mageswari disiarkan FMT, ramai yang tampil membayar tunggakan sewa baginya dan membantu beliau dengan memberi makanan dan barang keperluan lain.

Bekas timbalan menteri Wilayah Persekutuan, Loga Bala Mohan menawarkan pembayaran sewa selama setahun yang berjumlah RM1,164.

Bagaimanapun, beliau akhirnya membayar RM1,940 kerana MBPP berkata, terdapat tunggakan RM780 dan yuran kelewatan perlu dilangsaikan terlebih dahulu.

Loga Bala Mohan.

Loga kecewa MBPP dan kerajaan negeri tidak tampil menyelesaikan tunggakan itu dan menawarkan penyelesaian tetap untuk membayar sewa pada masa depan kepada ibu tunggal itu.

“Sekarang, kerajaan negeri perlu memastikan tunggakan 6 bulannya dihapuskan. Mereka patut membuat tinjauan kewangan ke atas semua penyewa lain yang tinggal di rumah pangsa itu.

“Saya tertanya-tanya apa yang kerajaan negeri buat. Adakah mereka dengar? Anda tak boleh paksa orang miskin serahkan flat kerajaan mereka kerana unit tersebut disediakan untuk golongan berpendapatan rendah.”

Sementara itu, Mageswari mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan.

Katanya, setelah sekian lama, beliau dan anak-anaknya dapat merasai beberapa hidangan “ikan dan ayam”.

Beliau turut memaklumkan bantuan kebajikan sosial pertamanya sebanyak RM770 sudah diterima 20 Okt lalu, selepas penantian lama. Beliau membuka akaun Bank Simpanan Nasional untuk tujuan itu pada 21 Sept, selepas memohon bantuan itu pada 8 Sept.

Tiada ulasan: