Selasa, 13 Oktober 2020

MB bantah PKPB: Patut berunding, bukan tonjol perbezaan

Siti Hafidah

 

Pemimpin perlu berunding kerana libat isu keselamatan, kesihatan

BANGI – Pendekatan terbaik dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan peningkatan kes COVID-19 adalah berbincang sesama pemimpin kerajaan, bukan menonjolkan pandangan yang berbeza.

Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof mengingatkan bahawa pemimpin kerajaan – Pusat dan negeri – perlu sedar bidang kuasa masing-masing.

“Negeri dan Persekutuan masing-masing ada kuasa. Pemimpin kerajaan kena tahu bidang kuasa masing-masing.

“Soal kesihatan dan keselamatan adalah dalam urusan Persekutuan.

“Namun, pendekatan terbaik ialah berunding dan berbincang, bukannya menonjolkan perbezaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai hasrat kerajaan negeri menghantar cadangan balas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menimbang semula pelaksanaan PKPB.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan langkah itu berikutan masih ada beberapa daerah di Selangor yang berada dalam zon hijau.

Katanya, pengumuman PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya agak mengejutkan kerajaan negeri.

“Keputusan Mesyuarat MKN Selangor menunjukkan hanya Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling yang mempunyai bilangan kes yang membimbangkan.

“Sehingga hari ini (semalam), secara konsensus kerajaan negeri melihat ada beberapa cadangan tertentu yang boleh dikemukakan untuk pertimbangan MKN.

“Kerajaan negeri berpandangan beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal,” katanya berhubung pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula tengah malam 14 hingga 27 Oktober ini.

Tiada ulasan: