Rabu, 21 Oktober 2020

Malaysia tutup hospital bantu Rohingya di Cox’s Bazar

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Malaysia telah memutuskan untuk menutup Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox’s Bazar, Bangladesh.

HMM ditubuhkan pada November 2017 untuk memberikan bantuan kemanusiaan kritikal kepada pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh berikutan konflik di Rakhine, Myanmar.

"Berdasarkan kepada perkembangan semasa, kerajaan telah memutuskan agar pengoperasian HMM ditamatkan lebih awal iaitu pada tahun 2020 berbanding dengan mandat operasi sehingga Disember 2021.

"Penubuhan HMM telah berjaya mencapai objektifnya dan penarikan keluar ini tidak memberi kesan kepada hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh serta terhadap imej negara," kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian itu berkata, bahawa penghantaran balik petugas perubatan Angkatan Tentera Malaysia ke tanah air telah membolehkan Hospital Angkatan Tentera (HAT) boleh beroperasi sepenuhnya bagi membantu negara menghadapi gelombang ke-3 Covid-19.

"Pada masa yang sama, mereka dapat diatur gerak dalam negara sebagai sebahagian daripada usaha keseluruhan kerajaan (whole-of-government) untuk menangani penularan pandemik COVID-19 yang ketika ini sedang menunjukkan trend peningkatan semula, "kata kementerian itu.

Menurut kementerian itu lagi, terdapat enam hospital lapangan tambahan yang didirikan oleh kerajaan Turki dan NGO antarabangsa lain seperti Mèdecins Sans Frontiéres (MSF), Yayasan HARAPAN, MSF Spain, Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh, dan Persahabatan yang berada di dalam kem pelarian.

"Pertambahan bilangan hospital medan ini telah memberi lebih banyak pilihan dan akses perkhidmatan kesihatan kepada pelarian Rohingya dan penduduk tempatan yang secara langsung telah mengurangkan kebergantungan mereka kepada HMM yang terletak di luar kawasan kem pelarian," kata Mindef.

Kementerian itu berkata Malaysia amat prihatin dengan krisis kemanusiaan Rohingya dan akan terus memainkan peranan mengetengahkan isu Rohingya di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk melalui platform dua hala dan pelbagai hala, khususnya dalam mencari penyelesaian jangka panjang berhubung isu ini.

Pengoperasian HMM dilaksanakan secara penggiliran dengan kekuatan 56 petugas bagi setiap pasukan yang terdiri daripada 20 pegawai ATM, termasuk 8 pakar perubatan, 30 anggota lain-lain pangkat Kor Kesihatan Diraja serta enam jururawat awam.

Sehingga Mac 2020, MAF telah menghantar lima pasukan perubatan ke MFH.

HMM yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, menjadi tumpuan pelarian Rohingya mendapatkan rawatan, walaupun terletak di luar kawasan kem pelarian kerana ia satu-satunya hospital medan yang menyediakan perkhidmatan tahap 3 ketika itu.

Antara perkhidmatan yang disediakan ialah pembedahan am, ortopedik, obstetrik dan ginekologi, bius, x-ray dan rawatan utama lain seperti kesihatan keluarga, kecemasan, pergigian, radiologi serta makmal.

Kementerian Pertahanan berkata, seramai 108,038 pesakit ke HMM sejak Nov 2017 hingga Mac 2020, dengan lebih 3,500 pembedahan dilakukan, termasuk kira-kira 900 pembedahan berisiko tinggi.

Jumlah kehadiran pesakit pernah mencapai sehingga 8,763 orang sebulan iaitu jumlah bulanan tertinggi pada November 2018.

Bagaimanapun, jumlah kehadiran pesakit bulanan telah menunjukkan trend penurunan, di mana pada bulan Februari 2020 hanya seramai 1,690 orang sahaja mendapatkan rawatan di HMM.

“Trend penurunan bilangan kes dan kehadiran pesakit ini adalah berikutan keadaan di kawasan kem pelarian semakin stabil dan tahap kesihatan pelarian Rohingya semakin baik berikutan penyakit- penyakit kronik telah diberikan rawatan sewajarnya dan banyak prosedur pembedahan telah berjaya Kuala Lumpur dilaksanakan," kata Kementerian itu.

Tiada ulasan: