Khamis, 22 Oktober 2020

Macau Scam: Polis akan panggil artis, ahli politik jika terbabit

Malaysiakini

Polis akan memanggil artis dan ahli politik yang terbabit dengan kegiatan sindiket perjudian dalam talian dan penipuan Macau Scam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.

Bagaimanapun setakat ini polis belum mengesan pembabitan ahli politik dalam kegiatan berkenaan.

"Kita akan menyiasat lanjut, sekiranya ada, sekiranya perlu (polis) akan panggil (artis atau ahli politik).

"Berhubung tangkapan dibuat terhadap tiga lelaki yang ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, polis akan membuat permohonan bagi meanjutkan reman selama 38 hari," katanya pada sidang media, di Bukit Aman, hari ini.

Tangkapan berkenaan dibuat semalam.

Dalam pada itu, mengulas mengenai individu yang melarikan diri selepas dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Huzir berkata pihaknya masih mengesan lokasi suspek bersembunyi.

Katanya, suspek yang dikenali sebagai Goh Leong Yeong @ Alvin sedang giat diburu oleh polis ketika ini.

"Kita akan kesan Alvin sehingga dapat," tegas Huzir.

"Semalam kita (polis) ada membuat tangkapan ke atas seorang lelaki di Lembah Klang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek yang melarikan diri," katanya lagi.

Pada 13 Okt lalu, media melaporkan seorang suspek utama dalam siasatan kes pengubahan wang haram dilapor melarikan diri daripada ditahan polis selepas dia dibebaskan SPRM.

Menurut Harian Metro lelaki terbabit - yang dikatakan bergelar Datuk Seri - memanjat pagar di belalang bangunan SPRM dan melarikan diri ketika anggota polis yang mahu menahannya bersedia di bahagian depan.

Memetik sumber portal itu melaporkan lelaki terbabit dikehendaki bagi membantu siasatan mengenai pusat panggilan yang menjalankan kegiatan judi dalam talian.

Sebelum itu, SPRM membongkar kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal memulakan perniagaan.

Ia susulan tangkapan lima individu termasuk Datuk dan lelaki bergelar Datuk Seri palsu pada 3 Oktober lalu oleh SPRM selepas seorang selebriti terkenal dipanggil untuk dirakam percakapan.

Tiada ulasan: