Jumaat, 23 Oktober 2020

Lima sahabat tidak mengaku perkosa budak

Zatul Iffah Zolkiply

GAMBAR hiasan

Kuala Terengganu: Lima sahabat termasuk dua remaja di bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol budak perempuan berusia 12 tahun.

Tertuduh, Tuan Muhammad Shafiq Tuan Ismail, 21; Muhammad Ghadafi Abdullah, 20; dan Ahmad Syah Herfudin Omar, 23, serta dua remaja berusia 16 dan 17 tahun mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama merogol mangsa secara berkumpulan di ladang sawit di Dungun antara 9 malam hingga 11 malam pada 29 September lalu.

Bagi kesalahan itu, setiap tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan dengan alasan kes itu membabitkan mangsa masih kanak-kanak dan mangsa mengalami tekanan serta trauma sehingga tidak mahu ke sekolah.

Selain itu, pihak pendakwaan memberi alasan jaminan tidak ditawarkan demi keselamatan mangsa kerana keluarga mangsa ada mengadu mereka diganggu dan menerima ugutan daripada keluarga tertuduh selepas kejadian berkenaan selain kes itu sudah tular di laman sosial.

Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan rayuan semua tertuduh, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, kedua-dua remaja berkenaan diarahkan dihantar ke Asrama Rusila Marang sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa, keluarga dan saksi selain perlu melaporkan diri pada 1 dan 15 hari bulan setiap bulan di Balai Polis Ketengah Jaya sepanjang prosiding berlangsung.

Mahkamah seterusnya menetapkan 24 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala dua remaja serta Mohd Ghadafi diwakili peguam, Nik Mohd Radhia Nik Mohd Abd Ghani daripada Tetuan Alda Shukri Khairi@ Associate.

Ahmad Syah Herfudin diwakili peguam, Masliela Ismail daripada Tetuan Ghazali Ismail & Co.

Media sebelum ini melaporkan lima lelaki ditahan kerana disyaki merogol murid tahun enam di ladang kelapa sawit.

Tiada ulasan: