Ahad, 18 Oktober 2020

KKM hantar pasukan forensik HKL ke Sabah, kata KP Kesihatan

Pasukan forensik Institut Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur berlepas ke Sabah 
bagi membantu kerja-kerja perubatan forensik dan pengurusan kematian akibat jangkitan 
Covid-19 di negeri itu. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Empat pegawai Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dimobilisasi ke Hospital Tawau, Sabah hari ini, bagi menjalankan tugas perubatan forensik dan pengurusan kematian akibat Covid-19 di kawasan timur negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pasukan forensik itu membabitkan seorang pakar perubatan forensik, 2 pegawai perubatan dan seorang penolong pegawai perubatan.

“Bagi pakar perubatan forensik, beliau akan bertugas di Tawau selama 3 bulan. Kesemua petugas barisan hadapan ini bersiap sedia untuk menjalankan tugas di lapangan dalam usaha negara membendung penularan pandemik Covid-19.

“Bagi pihak rakyat Malaysia, terima kasih diucapkan kepada wira negara ini,” katanya di Facebook pagi ini.

Sehingga semalam, 767 anggota perubatan dan kesihatan awam KKM daripada pelbagai kategori dan skim perkhidmatan digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Hampir setiap hari terdapat kematian baru akibat wabak itu direkodkan di Sabah sejak minggu lepas dan 4 lagi kes maut dilaporkan di negeri itu semalam.

Tiada ulasan: