Khamis, 15 Oktober 2020

Kementerian perumahan akan rangka akta untuk rumah pesara

Kerajaan bercadang untuk menggubal akta bagi mengawal selia pembangunan 
perkampungan persaraan dan melindungi kepentingan warga emas. (Gambar 
Bernama

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk memperkenalkan undang-undang baru dalam waktu terdekat untuk memenuhi permintaan populasi menua yang berkembang pesat dan menyusun semula semua program perumahan nasional.

Kementerian berkenaan akan memperkenalkan Akta Kampung Persaraan dan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Perumahan Negara katanya dalam satu temu bual melalui emel dengan FMT, walaupun ia tidak menyebut tarikhnya.

KPKT berkata tiada definisi perundangan yang khusus di Malaysia berhubung rumah persaraan kerana ia adalah konsep baru yang belum diterjemahkan ke dalam dasar yang koheren dan rangka pengawalseliaan.

Mengambil maklum bahawa peratusan warga emas di Malaysia akan meningkat dari 14.2% pada 2030 menjadi 23.1% pada 2050 katanya, konsep kampung persaraan akan disepadankan dengan keperluan warga emas dengan menyediakan komuniti yang selamat dan dilengkapi dengan kemudahan dan keselamatan.

“Tujuan RUU ini adalah untuk menyediakan kawalan dan perlesenan bagi perniagaan pembangunan kampung persaraan dan melindungi kepentingan pembeli (warga emas) dan berhubung hal-hal berkaitan,” katanya.

Jelasnya, kementerian mengambil inisiatif untuk memulakan kajian dasar dan persiapan perundangan untuk pembangunan seragam perumahan warga emas.

Ini merangkumi perancangan, pembinaan, pengurusan bangunan dan pemilikan kediaman untuk memastikan kampung persaraan selamat, berkualiti dan layak didiami oleh warga emas.

Ia berkata, Akta Pusat Jagaan 1993 dan RUU Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2017 tidak merangkumi prosedur pembinaan kampung persaraan, sementara garis panduan sedia ada, yang tidak menyeluruh, perlu diperbaiki selepas mengambil kira kemampuan ergonomik pengguna, termasuk elemen mesra warga emas. 

Rang Undang-Undang Perbadanan Perumahan Negara

Sementara itu, RUU Perbadanan Perumahan Negara, akan membuka jalan kepada penubuhan sebuah perbadanan baru di bawah kementerian yang akan menggabungkan dan menyusun semula semua program perumahan nasional di bawah bidang kuasa beberapa kementerian.

Program tersebut merangkumi Perumahan Rakyat 1Malaysia Corporation (PR1MA) dan skim perumahan penjawat awam (PPAM) di bawah Jabatan Perdana Menteri serta Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di bawah Kementerian Kewangan.

“RUU ini akan meneliti pemusatan hal-hal berkaitan dengan kemajuan dan kegiatan pembangunan melibatkan perumahan mampu milik, prasarana dan fasiliti serta aktiviti pemantauan dan penyelenggaraan yang akan dilaksanakan oleh perbadanan baru,” katanya.

Menekankan bahawa RUU tersebut mungkin bertindan dengan undang-undang yang sedia ada, terutama Akta Perumahan Rakyat 1Malaysia 2012, kementerian itu berkata, kajian lebih lanjut dan proses perundingan dengan pihak berkaitan diperlukan sebelum RUU itu dirangka.

Tiada ulasan: