Ahad, 25 Oktober 2020

Isytihar proklamasi darurat kuasa khas Agong

MOHD RIDZUAN ABU HASSAN 

Al-Sultan Abdullah

SHAH ALAM - Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa khas kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan proklamasi darurat sekiranya baginda berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa darurat besar itu menyebabkan keselamatan, ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam.
ADVERTISING

Selain itu, katanya, proklamasi darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum berlaku kejadian yang mengancam itu jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.

"PGSM menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memutuskan sama ada wajar atau tidak suatu proklamasi darurat dikeluarkan.

"Dengan mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan, ekonomi dan ketenteraman awam khususnya apabila melibatkan kes-kes Covid-19 di negara ini yang meningkat secara mendadak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Musa berkata, berdasarkan Perkara 6A Perlembagaan Persekutuan, dalam tempoh proklamasi darurat, apa-apa undang-undang yang dibuat oleh Parlimen tidak memperluaskan kuasa Parlimen mengenai apa-apa perkara undang-undang, adat anak negeri di Sabah dan Sarawak, atau yang berhubungan dengan agama, kewarganegaraan serta bahasa.

Menurutnya, PGSM percaya bahawa Seri Paduka Baginda akan mengutamakan kesejahteraan rakyat dalam mempertimbangkan apa jua keputusan.

Tiada ulasan: