Jumaat, 16 Oktober 2020

Ibu bersyukur 'bidadari terindah' berpurdah

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

"Masya-Allah, masya-Allah... ya Allah…," itu kata ibu neelofa, Noor Kartini Noor Mohamed bagi menggambarkan perasaan hatinya ketika dikejutkan dengan penampilan berpurdah usahawan, pengacara dan pelakon itu.

Kata Noor Kartini, tiada ungkapan dapat diluahkan selain syukur kerana nikmat tidak terhingga apabila dia dikurniakan anak seperti Neelofa.

“Masya-Allah, masya-Allah, Ya Allah aku tiada ungkapan untukku ucapkan syukur dengan kurnia-Mu, mengamanatkanku bidadari terindah untukku yang banyak mengajar dan menjadi inspirasiku.

“Ya Allah, syukur atas hidayah untuknya yang Kau kurnia dan ku mohon kurniakan hidayah terbaik untukku, seluruh keluargaku dan seluruh umat manusia,” katanya dalam hantaran dimuat naik di Instagram kira-kira sejam tadi.

Perkongsian tersebut mengundang tanda tanya ramai sama ada pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor itu benar-benar sudah berpurdah atau tidak.

Untuk rekod, Neelofa, yang namanya popular selepas dinobatkan sebagai juara Dewi Remaja 2009/10 itu mula bertudung pada pada 2014 sempena kehadiran Ramadan tahun itu.

Melalui semakan Malaysiakini setakat laporan ini ditulis, perkongsian itu mengundang komen positif yang rata-ratanya terkejut, mengucapkan syukur dan mendoakan agar pelakon Kau Yang Terindah itu terus beristiqomah.

Sementara itu, Neelofa, 31, melalui satu kenyataan mengesahkan dia sudah berpurdah selain memohon orang ramai mendoakan agar 'perjalanan barunya' itu sentiasa diredhai Allah SWT.

 

“Doakan saya, insan yang penuh dengan kekhilafan agar sentisa istiqomah, dalam memperbaiki diri yang ampuh melalui datangnya hari.

“Kirimkan juga doa buat perjalanan baru saya agar sentiasa dalam rahmat dan reda Ilahi. Semoga kita sentiasa dilindungi Allah dan selalu berada dalam rahmat-Nya,” katanya.

Tiada ulasan: