Rabu, 28 Oktober 2020

Harga pelitup muka turun

 SUARA MERDEKA

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata harga maksimum pelitup muka jenis tiga lapis di peringkat borong pula diturunkan kepada 65 sen sekeping daripada 95 sen.

Mengambil kira keperluan untuk rakyat terus mengamalkan norma baharu terutama penggunaan pelitup muka yang berterusan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  telah membuat kajian semula harga pelitup muka melibatkan pengeluar tempatan dan pengimport, katanya.

“Harga baru ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” menurutnya dalam kenyataan media di Putrajaya hari ini.

Nanta berkata harga siling runcit bagi pelitup muka satu lapisan pula ditetapkan tujuh sen sekeping, pelitup muka dua lapisan 20 sen sekeping manakala pelitup muka N95 pada RM6 sekeping. 

Sementara itu, beliau berkata KPDNHEP telah menjalankan sebanyak 67,217 pemeriksaan dan pemantauan harga serta bekalan bagi pelitup muka di seluruh negara sejak 29 Jan sehingga Ahad lepas.

“Tindakan pemeriksaan tersebut berjaya menghasilkan sebanyak 73  kes dengan nilai rampasan RM543,737 dan melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM518,400,” katanya.

Peniaga yang gagal mematuhi perintah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dikenakan penalti seperti bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum.

Pesalah individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala pesalah syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga bagi barangan harga terkawal pula, pesalah individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dikompaun sehingga RM25,000, manakala pesalah syarikat boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000, katanya.

Tiada ulasan: