Khamis, 22 Oktober 2020

Hampir pengsan disengat lebah

 Oleh ASLIZA MUSA

ANGGOTA bomba membantu seorang lelaki yang diserang leba
di Lenggong hari ini. - GAMBAR IHSAN JBPM

LENGGONG: Seorang lelaki berusia 72 tahun cedera setelah disengat lebah ketika menunggang motosikal berhampiran Ladang Teh Lenggong di sini hari ini.

Mangsa, Kamaruddin Othman yang mengalami bengkak dan luka di kepala serta beberapa bahagian badan kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar.

Abang kembar Kamaruddin, Zainal Abidin, 72, berkata, ketika kejadian, adiknya itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gelok setelah selesai menoreh getah di Kampung Changkat Berangan dekat sini.

Katanya, semasa melalui lokasi kejadian, mangsa yang ketika itu sedang menunggang motosikal telah diserang lebah.

“Saya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak Klinik Kesihatan Lenggong yang merawat Kamaruddin sebelum dia dipindahkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.

“Lokasi kejadian merupakan laluan biasa yang dilaluinya untuk menoreh getah dan saya tidak tahu bagaimana dia boleh diserang lebah. 

“Setakat ini keadaannya stabil dan boleh bercakap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong, Hamdan Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian dari Klinik Kesihatan Lenggong pada pukul 11.40 pagi.

Katanya, setibanya anggota di lokasi kejadian, didapati seorang lelaki dalam keadaan terduduk sambil dihurung lebah di badan dan kepala.

“Anggota menggunakan pakaian khas untuk menyelamatkan mangsa dan membawanya ke tempat selamat.

“Mangsa yang dalam keadaan hampir pengsan itu kemudiannya diserahkan kepada pihak petugas kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: