Rabu, 28 Oktober 2020

Dahulukan keselamatan, kesihatan berbanding pendidikan, kata kumpulan pendidik

Kementerian Pendidikan digesa memperkenalkan pelan kontigensi persediaan peperiksaan, 
jika lonjakan kes Covid-19 berterusan.

PETALING JAYA: Dua kumpulan pendidik menggesa Putrajaya mendahulukan aspek keselamatan dan kesihatan dalam sebarang keputusan berhubung penularan Covid-19 tanpa mengorbankan institusi pendidikan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Amiruddin Awang berkata, sekolah di zon hijau perlu ditutup segera, jika pihak sekolah mendapati wujud risiko penularan yang mampu memudaratkan pelajar dan guru.

Presiden Ikatan Guru-guru Muslim (iGuru), Mohd Azizee Hasan pula mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kuasa autonomi kepada Jabatan Pendidikan untuk mempercepatkan proses memutuskan jika sesebuah sekolah itu perlu ditutup.

“Kementerian perlu ambil langkah proaktif mengenal pasti sekolah terjejas dengan penularan wabak ini dan segera menutupnya demi mengelakkan penularan lebih teruk,” katanya kepada FMT.

Mengenai kesan terhadap sesi pembelajaran susulan lanjutan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 9 Nov ini, Azizee berkata, KPM perlu memperkenalkan pelan kontigensi persediaan peperiksaan, jika lonjakan kes berterusan.

“Hanya pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan SPM atau STPM saja perlu berada di sekolah. Aspek keselamatan dan kesihatan mesti diutamakan dengan pematuhan SOP ketat seperti digariskan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.”

Katanya, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian tidak menjadi beban besar kepada guru berdasarkan kejayaan dan pengalaman sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan Mac lalu.

Selain Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, 177 institusi pendidikan di Seremban, Negeri Sembilan yang dikategorikan zon merah di turut ditutup sehingga 9 Nov ini.

KPM mengarahkan pentadbir sekolah dan semua institusi pendidikan memastikan tenaga pengajar melaksanakan PdP atas talian sepanjang 2 minggu itu.

Sementara itu, Amiruddin menasihatkan ibu bapa dan penjaga memberi sokongan serta kepercayaan kepada guru untuk menjayakan kaedah PdP secara maya tanpa memberi sebarang tekanan.

“Semua pihak perlu sedar, memang banyak kekangan dalam melaksanakan pembelajaran secara maya kerana tidak semua murid memiliki peranti mudah alih dan capaian internet di rumah,” katanya sambil memperincikan 3 kaedah pembelajaran PdP yang boleh diguna pakai.

Pertama, pembelajaran dalam talian secara serentak atau “real time” menerusi panggilan video, aplikasi Skype atau Zoom. Ke-2, pembelajaran dalam talian secara interaksi tidak langsung, antaranya kandungan video menerusi YouTube dan Facebook, manakala terakhir ialah pembelajaran tanpa capaian internet.

“Melalui kaedah ini, model pembelajaran bercetak atau e-model boleh dimuat turun lebih awal,” katanya.

Azizee pula tidak menolak kemungkinan tenaga pengajar berdepan isu tekanan dan kemurungan akibat beban mengajar semasa PKPB.

“Bagi memberi semangat kepada golongan pendidik, KPM boleh memberikan insentif khas bantuan kewangan kepada guru untuk penyediaan fasiliti teknologi, di samping khidmat sokongan dalam menguruskan emosi guru.”

Tiada ulasan: