Sabtu, 31 Oktober 2020

'Cari kaedah baharu PRU, perluas undi pos'

Kaedah baharu mengundi perlu dipertimbangkan bagi mengelak penularan wabak COVID-19, seperti berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, bulan lalu. - NSTP/MALAI ROSMAH TUAH.
Kaedah baharu mengundi perlu dipertimbangkan bagi mengelak penularan wabak COVID-19, seperti berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, bulan lalu. - NSTP/MALAI ROSMAH TUAH.

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar memperhalusi kaedah melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan selamat jika ancaman COVID-19 berjaya diredakan namun situasi politik negara tetap tidak stabil.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, berkata ia sejajar intipati kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sejurus mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu iaitu kemungkinan PRU-15 dilaksanakan selepas penularan wabak berada di tahap minimum.

"Buat masa sekarang dan baki tahun ini, UMNO sedar rakyat tidak mahukan PRU yang tergesa-gesa.

"Yang di-Pertuan Agong sudah menggambarkan dalam titah baginda bahawa ketegangan politik perlu dikendurkan dalam pada negara menghadapi gelombang ketiga COVID-19.

"Namun setelah ancaman COVID-19 diredakan dan andai kata situasi politik masih tidak stabil dengan majoriti terlalu tipis, maka mengembalikan mandat kepada rakyat wajar dipertimbangkan.

"Cuma kita tidak boleh hanya memberi gesaan terbabit tanpa memikirkan bagaimana untuk menjalankan pilihan raya dengan selamat, mengambil iktibar pengalaman kita di Sabah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahril berkata, antara perkara yang wajar diperhalusi adalah prosedur operasi standard (SOP) yang jelas, ketat dan memberi keyakinan kepada rakyat serta petugas parti.

Katanya, SOP perlu jelas dan tidak berubah-ubah sepanjang berkempen seperti tiada ceramah atau rapat umum dibenarkan manakala penguatkuasaan perlu adil tanpa mengira parti.

"Selain itu, hak mengundi melalui undi pos wajar diperluas kepada seberapa ramai yang mampu, terutama pengundi luar kawasan dan golongan berusia seperti warga tua yang menghadapi risiko lebih tinggi terhadap jangkitan COVID-19.

"Tiada sebab ia tidak boleh dilaksanakan jika ada kemahuan politik. Di Amerika Syarikat, lebih 80 juta rakyatnya mengundi dalam pemilihan Presiden mereka dan ramai dalam kalangan itu adalah undi pos. Mengapa tidak Malaysia?

"SPR boleh menambah saluran dan tempoh mengundi jika ada pengundi mahu mengundi secara manual.

"Ini hak pengundi tetapi perubahan prosedur wajar dilaksanakan bagi mengelak kesesakan di tempat mengundi," katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, tanggungjawab melaksanakan pilihan raya dengan selamat bukan terletak di bahu SPR dan kerajaan semata-mata, kerana ia turut menuntut komitmen ahli politik.

"Ada yang masih berkeras ahli politik tidak bersalah terhadap gelombang ketika COVID-19 susulan PRN Sabah.

"Sebagai seorang yang pernah dijangkiti COVID-19 dan menginsafi pengalaman kempen yang saya sendiri terbabit, saya tak perlu nafikan wujud kekurangan pihak parti politik termasuk UMNO yang menyumbang kepada apa yang berlaku sekarang.

"Mungkin ada faktor lain membawa kepada gelombang ketiga, tetapi pengamal politik wajar mengakui dan menginsafi kita juga ada tanggungjawab atas apa yang berlaku.

"Sebelum menyalahkan orang lain, eloklah melihat diri sendiri terlebih dahulu," katanya.

Tiada ulasan: