Sabtu, 24 Oktober 2020

Biarkan pilihan raya di sana sini, nyawa rakyat serah kepada takdir… – Annuar

Wartawan MalaysiaGazette
MGF31072020_SOLAT-AIDILADHA-DAN-IBADAH-KORBAN17-681x454
Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa membangkitkan persoalan undang-undang apakah yang akan diguna pakai apabila para pengundi di Batu Sapi mahu kerajaan menangguhkan pilihan raya kecil di Parlimen tersebut.

Begitu juga, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, persoalan yang sama dibangkitkan oleh rakyat Sarawak yang mahu supaya pilihan raya negeri itu ditangguhkan kerana bimbang apa yang telah terjadi di Sabah berikutan PRN yang diadakan di situ.

Sabah kini mencatatkan kes harian tertinggi sehingga diisytiharkan zon merah dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terpaksa dikuatkuasakan di negeri bawah bayu itu.

Annuar juga bertanya, undang-undang apa yang akan digunapakai apabila 87 peratus memberi isyarat bahawa mereka tidak mahu Pilihan Raya Umum diadakan kerana bimbang pandemik Covid-19.

Beliau menarik perhatian mengenai persoalan tersebut dalam hantaran di laman Facebook.

Beliau merujuk kepada pandangan seorang peguam yang merumuskan bahawa darurat tidak perlu diisytiharkan kerana masih ada undang-undang yang boleh digunapakai untuk membantu usaha membendung Covid-19.

Peguam tersebut berkata, Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit mencukupi untuk membendung wabak tersebut serta membantu rakyat yang terjejas.

Artikel berkaitan: Kabinet isytihar darurat tumpu perangi Covid-19?

Membangkitkan persoalan lebih lanjut, Annuar berkata, pelbagai pihak juga mengugut mahu menjatuhkan Perdana Menteri melalui sidang Parlimen bulan depan.

“Jika itu berlaku maka PM boleh bubarkan parlimen dan PRU perlu diadakan.Tetapi rakyat tidak mahu pilihanraya diadakan kerana takut merebaknya COVID-19.

“Undang undang mana boleh dipakai untuk menangguh pilihanraya supaya KITA DAPAT MEMPASTIKAN COVID-19 terkawal dan tidak mengancam nyawa rakya,” soalnya.

Kata Annuar, kini beribu rakyat di hospital dan beribu frontliners serta anggota keselamatan terpaksa menjalani kuarantin malah berbillion dana negara terpaksa dibelanjakan.
 
Itu pun, kata beliau, dalam keadaan Malaysia diiktiraf oleh dunia sebagai negara paling berjaya dalam mengekang penularan wabak Covid-19.
 
“Bagaimana agaknya kalau dalam tempoh dua tiga bulan ini kita mendahulukan perebutan kuasa politik demi demokrasi di saat rakyat sedang bertarung nyawa dengan  ancaman COVID-19,” katanya.
 
Annuar sekali lagi bertanya kuasa apa dan undang-undang mana yang membolehkan penangguhan perebutan kuasa atau demi mendahulukan demokrasi kerana takut berhadapan pelbagai tuduhan oleh pembangkang maka kerajaan membiarkan pilihan raya di sana sini.
 
“Nyawa rakyat serah pada takdir,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada sesiapa yang boleh memberikan nasihat perundangan berkaitan persoalan yang dibangkitkannya.
 
Mesyuarat khas Kabinet semalam membincangkan tentang pelaksanaan darurat bagi memboleh usaha membendung pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan kesihatan dan ekonomi rakyat di negara ini dilaksanakan secara bersepadu.
 
Rentetan daripada itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.
 
Sehingga kini, belum ada sebarang keputusan sama ada baginda memberikan perkenan atau akan memanggil Majlis Raja-Raja untuk membincangkan perkara tersebut.
 
Selepas Pilihan Raya Negeri, Sabah bakal menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada 5 Disember berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu.
 
Pilihan raya negeri Sarawak pula diadakan apabila tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada tamat pada Jun tahun hadapan.
 
Ada juga pihak yang menuntut supaya diadakan pilihan raya umum dengan mengemukakan usul tidak percaya terhadap perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional dan menolak belanjawan yang akan dibentangkan pada 6 November nanti di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: